Seorang pelajar wanita maut dalam kemalangan tiga kenderaan di LTU arah Raub, manakala 11 individu lain cedera ringan
KUANTAN: Seorang pelajar wanita maut selepas tercampak keluar dari kenderaan dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Lingkaran Tengah Utama (LTU) arah Raub.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata kemalangan itu melibatkan Toyota Yaris, Toyota Alphard dan Ford Ranger.
Siasatan awal mendapati Toyota Yaris yang membawa mangsa, Puteri Nursyakirah Suzaimi, 19, dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam longkang di bahu jalan.
“Akibat kemalangan itu, Puteri Nursyakirah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan.
Pemandu Toyota Yaris, seorang lelaki warga asing berusia 20 tahun, mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan.
Kedua-dua mangsa itu ialah pelajar sebuah pusat pengajian tinggi.
Toyota Alphard dan Ford Ranger yang datang dari arah sama turut dipercayai hilang kawalan.
Kejadian itu menyebabkan Toyota Alphard menggelongsor lalu menghempap Toyota Yaris, manakala Ford Ranger terbabas ke dalam longkang konkrit.
Pemandu serta tiga penumpang Toyota Alphard termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun hanya mengalami kecederaan ringan.
Bagi kenderaan Ford Ranger pula, pemandu dan empat penumpang termasuk seorang kanak-kanak lelaki turut mengalami kecederaan ringan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Siasatan itu termasuk pemeriksaan teknikal kenderaan di Puspakom serta pengambilan sampel darah dan air kencing pemandu terlibat.
Polis meminta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian untuk tampil membantu siasatan.






