Kerajaan Kelantan mengingatkan semua pihak supaya memaklumkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan lebih awal sebelum menganjurkan sebarang program bagi mengelakkan kekeliruan, salah faham dan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Menteri Besar Mohamed Fadzli Hassan berkata sebarang penganjuran, termasuk program berbentuk kesihatan, perlu dilaksanakan secara tertib serta mematuhi prosedur dan peraturan.
Dia merujuk kepada penganjuran program kesihatan di Kemumin, Pengkalan Chepa, yang didakwa tidak dimaklumkan secara rasmi kepada pihak berkuasa negeri mahupun agensi penguat kuasa.
“Pemilihan tempat dan masa juga perlu diteliti dengan bijaksana.
“Penganjuran program sehingga jam 2 pagi dalam kawasan kampung seperti Kemumin boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk setempat.
“Tindakan seperti ini boleh dianggap kurang sensitif terhadap norma dan suasana masyarakat, sekali gus tidak menghairankan sekiranya aduan dibuat kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Fadzli menegaskan kerajaan negeri kekal komited dalam usaha memelihara keharmonian sosial dan ketenteraman awam.
“Walaupun niat asal penganjuran berbentuk kesihatan dan pencegahan, kegagalan mematuhi saluran kelulusan menimbulkan salah faham dan tohmahan kepada banyak pihak, termasuk pentadbiran negeri.
“Penjelasan awal dan terbuka amat penting bagi meredakan kekeliruan awam.
“Kelewatan memberi penerangan hanya akan mencetus pelbagai tafsiran yang merugikan semua pihak,” katanya.
Mohamed Fadzli turut mendedahkan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan tidak dimaklumkan lebih awal mengenai program berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan polis menyerbu satu program berkaitan komuniti LGBT di sebuah rumah banglo di Jalan Kemumin pada pertengahan Jun lepas. Ia disertai lebih 20 lelaki tempatan.
Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata operasi dijalankan hasil maklumat awam dan risikan pasukan khas selepas menerima aduan daripada penduduk.
Pemeriksaan di lokasi menemui ratusan keping kondom dan beberapa kotak ubat HIV di sebuah bilik khas yang dipercayai dijadikan stor simpanan oleh pihak penganjur.
Sementara itu, Majlis Aids Negara dalam kenyataan memaklumkan program berkenaan adalah sesi outreach bagi mendekati komuniti berisiko tinggi sebagai langkah pencegahan HIV.
Program yang berlangsung dari jam 8 malam hingga 2 pagi pada 17 Jun lalu itu adalah sebahagian daripada pendekatan strategik Kementerian Kesihatan Malaysia memastikan perkhidmatan HIV lebih inklusif dan berpusat kepada komuniti.
– Bernama