Malaysia Oversight

Cuba jimat kos, alat rawatan barah lambat sampai

By MkiniBM in July 22, 2025 – Reading time 2 minute
Cuba jimat kos, alat rawatan barah lambat sampai


Usaha sebuah hospital universiti menjimatkan kos rawatan barah  akhirnya membahayakan kesihatan pesakit, menurut siasatan Jabatan Audit Negara.  

Ini berlaku selepas syarikat yang memenangi tender gagal menyerahkan sistem radioterapi linear accelerator (Linac) dan peralatan sokongan lain kepada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) mengikut jadual.  

Laporan audit yang dikeluarkan hari ini menyatakan syarikat berkenaan (direkod sebagai 0074062-D) sepatutnya menghantar peralatan tersebut pada 18 September tahun lalu.  

Namun, sehingga siasatan audit selesai pada 17 Januari, peralatan itu belum sampai ke hospital – yang kini dikenali sebagai Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).  

“Kelewatan memulakan rawatan telah memberi impak kepada survival pesakit melibatkan 20 pesakit dengan tempoh menunggu antara satu hingga lapan minggu,” menurut laporan audit.  

Syarikat itu pada Jun tahun lalu memohon penangguhan penyiapan tender hingga 12 Februari 2025 – yang diluluskan. 

Namun, mereka memohon penangguhan lagi pada Disember tanpa tarikh tertentu, permintaan yang ditolak HCTM.  

Siasatan mendapati kelewatan ini bukan semata-mata kesilapan syarikat, tetapi juga jawatankuasa tender hospital.  

Semasa proses tender, jawatankuasa pratender, penilaian teknikal dan penilaian kewangan tidak mencadangkan pelantikan 0074062-D, walaupun syarikat itu lulus penilaian asas.  

Namun, jawatankuasa tender meluluskan 0074062-D dengan alasan memenuhi 90.36 peratus kriteria teknikal, menawarkan harga kedua terendah (RM22 juta) dan kos penyelenggaraan termurah (RM960,000/tahun) berbanding RM1.09 juta/tahun oleh pembida terendah.  

Jabatan Audit tidak berpuas hati dengan justifikasi ini, terutamanya apabila wujud syarikat (0050470-K) yang menawarkan harga hanya RM370,000 lebih tinggi tetapi skor teknikal terbaik (98.05 peratus).  

Audit turun membongkar dua tender lain HCTM: 

1. Pembekalan makanan: Kontrak RM25.6 juta diberikan kepada syarikat tidak berpengalaman tanpa sijil halal, walaupun tidak dicadangkan jawatankuasa kewangan.  

2. Naik taraf lif: Kontrak RM10.8 juta diberikan kepada syarikat (0726241-U) yang mempunyai rekod “projek sakit”, bertentangan garis panduan tender kerja besar.  

HCTM mempertahankan keputusan dengan mendakwa banyak kerja syarikat sebenarnya masih dalam tempoh. 

Namun, Jabatan Audit menegaskan syarikat berkenaan tidak sepatutnya dipertimbangkan langsung memandangkan rekod buruknya.  



Source link