Pemuda PKR menyelar seorang wartawan portal tempatan yang mengutarakan soalan yang didakwa membandingkan hubungan kaum di Malaysia dengan penjajahan regim Israel terhadap Palestin.
Setiausahanya, Omar Mokhtar A Manap menyifatkan tindakan itu sebagai “jahil” dari sudut sejarah dan fakta, selain mencerminkan kegagalan memahami realiti sosial negara.
“Hubungan antara kaum di Malaysia tidak pernah dibina atas asas penjajahan atau penindasan sistematik.
“Sejarah membuktikan bahawa kemerdekaan Malaysia dicapai melalui kerjasama kolektif antara Melayu, Cina, dan India dalam menentang penjajah British, bukannya satu kaum menindas kaum yang lain.
“Adalah tidak masuk akal untuk menyamakan penjajah Zionis Israel dengan orang Melayu, dan rakyat Palestin yang dijajah dengan kaum lain di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Omar yang juga setiausaha politik Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution merujuk kepada soalan wartawan tersebut kepada ahli politik Britain pro-Palestin, George Galloway dalam sidang media di Kuala Lumpur, dua hari lalu.
Soalannya berkisar hubungan antara orang Melayu dan Cina di Malaysia dan membandingkannya dengan hubungan Israel dan Palestin.
Mengulas lanjut, Omar berkata cubaan membuat analogi sedemikian sebagai manipulasi naratif bahaya yang boleh menggugat keharmonian masyarakat majmuk.
“Konflik Palestin-Israel adalah isu pembersihan etnik dan pelanggaran hak asasi manusia yang berat, bukan sekadar isu hubungan kaum biasa.
“Sehubungan itu, Pemuda PKR mengingatkan pihak media agar lebih bertanggungjawab dalam menjalankan tugas, terutama apabila menyentuh isu sensitif.
“Media memikul tanggungjawab besar untuk mendidik dan menyampaikan fakta, bukannya mencetuskan kekeliruan atau provokasi yang boleh memecahbelahkan masyarakat,” katanya.






