Tempahan Mercedes CLA 250+ Dibuka – EV 792KM, Harga Disasarkan RM 295,888
Ikhwan Nazri
Tahun 2026 merupakan satu permulaan baharu untuk arena kereta elektrik kerana semakin banyak teknologi berkaitan yang mula menampakkan kematangan, dan teknologi ini diimplementasikan pada model-model baharu. Mercedes Benz Malaysia hari ini telah mengumumkan model elektrik baharu mereka iaitu Mercedes Benz CLA yang jauh berbeza rekaannya dengan model-model terdahulu dan ia juga merupakan EV kelas permulaan bagi mereka berdasarkan dari harga yang ditawarkan, berlainan dari kebanyakan model mereka yang lain berada dalam kelas kereta mewah.

Jika dibandingkan dari segi rekaan dan teknologi, Mercedes Benz CLA yang pertama kali dipamerkan sebagai kereta konsep di acara IAA Mobility 2023, CLA 250+ yang ditawarkan ini merupakan model pertama yang dibina menggunakan senibina baharu mereka yang menggunakan konsep modular. Ia mengetengahkan teknologi bateri terbaharu dengan senibina pengecasan 800V, membolehkan pengecasan pantas DC setinggi 320kW 10-80% dalam masa 15 minit, atau secara kasarnya pengecasan selama 10 minit membolehkan penambahan jarak sebanyak 325km.

Ia mempunyai bateri sebesar 85 kWh yang memberikan jarak perjalanan sejauh 792 KM WLTP dan pengecasan AC setinggi 11kW. Dari segi prestasi, Mercedes Benz CLA 250+ merupakan pacuan semua roda dengan motor elektrik di hadapan dan belakang, dengan kuasa sebanyak 268 HP membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.7 saat dan kelajuan maksimum 210 km/j. Disebalik prestasi yang baik, ia juga mempunyai kecekapan tenaga yang tinggi sekitar 12.2 kWh / 100 km.

Menghiasi Mercedes Benz CLA 250+ ini ialah 142 lampu ‘bintang’ LED dibahagian hadapan, dengan elemen rekaan Mercedes di bahagian lampu depan dan belakang. Bumbung lutcahaya panoramik pula memberikan gaya luas, dan ia turut menawarkan ruang storan hadapan frunk sebesar 101 L, dan ruang bagasi sebesar 405 L. Rekaan dalaman pula tampil berprestij dengan tiga paparan skrin dengan satunya bersaiz 10-inci untuk pemandu, dan dua skrin 14-inci untuk penumpang hadapan dan inforia, dikuasakan oleh sistem operasi terkini MB.OS yang dibangunkan sendiri oleh Mercedes. Ia turut mempunyai pembantu maya MBUX yang dibina berasaskan ChatGPT-4o dan enjin carian Microsoft Bing, serta mengaplikasikan Google Gemini untuk fungsi navigasi berasaskan Google Maps.

Buat masa ini Mercedes Benz Malaysia masih dalam proses pendaftaran minat, dengan harga disasarkan sekitar RM 295,888 dan dijangka akan menemui pengguna pada suku kedua tahun ini. Bagi anda yang berminat, anda boleh hadir ke Stars@Mercedes Benz Bangsar (NZ Wheels Bangsar) untuk melihat sendiri kereta elektrik baharu ini.





