Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekali lagi menegaskan sebarang keputusan untuk menyertai gabungan politik hanya boleh dibuat melalui kongres kebangsaan parti itu, sejajar dengan tradisi demokrasi sentralisme yang diamalkan.
Penegasan ini dibuat selepas Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan mengesahkan kehadirannya dalam satu mesyuarat semalam yang dipanggil oleh Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, yang bertujuan mengumpul sokongan parti-parti pembangkang bagi membentuk pakatan politik yang lebih luas.
“PSM telah hadiri perjumpaan tersebut kerana ia tidak bercanggah dengan pendirian PSM untuk hadir jika dipanggil mesyuarat oleh mana-mana parti politik.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melontarkan beberapa cadangan termasuk satu persefahaman merentasi parti-parti politik pembangkang. PSM menyambut baik perbincangan yang diadakan dan telah memberikan pandangan dan posisi kami; Namun demikian tidak ada sebarang keputusan oleh PSM untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) mahupun sebarang gabungan baru.
“Selaras dengan pendirian PSM sebelum ini, PSM hanya mempunyai perikatan persefahaman politik dengan parti Muda dan Parti Rakyat Malaysia(PRM). Sebelum ini pun, PSM pernah mempunyai persefahaman politik dengan Gagasan Demokrasi Rakyat(GDR) dan Pakatan Rakyat(PR).
“Sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana Gabungan Politik hanya boleh diambil oleh Kongres PSM selaras dengan tradisi Demokratik Sentralisma yang dianuti oleh parti,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Menurut laporan, Muhyiddin membentangkan beberapa cadangan dalam mesyuarat itu, termasuk membentuk persefahaman antara parti pembangkang bagi memperkukuh mekanisme semak dan imbang di dalam dan luar badan perundangan.
Perkara ini dijangka akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PN hujung minggu ini.
Secara berasingan, Presiden Urimai dan bekas pemimpin DAP, Dr P Ramasamy berkata hasil daripada sebarang gabungan pembangkang baru bergantung kepada pelbagai faktor dan tidak boleh disandarkan semata-mata kepada tahap sokongan semasa terhadap PN.
“Sudah tentu, faktor-faktor ini tidak boleh diringkaskan kepada tahap sokongan terhadap gabungan PN sahaja,” katanya.
“Politik melibatkan pelbagai kemungkinan masa depan. Seperti kata seorang negarawan menjelang revolusi besar, masa depan milik mereka yang lemah, iaitu golongan majoriti,” katanya.
Ramasamy mengakui PN kini lebih lemah berbanding kerajaan pimpinan PH namun dia menekankan keadaan politik dan sosial “bukan sesuatu yang statik – ia sering berubah dengan pantas”.
Menurutnya, pembangkang perlu mengambil kesempatan daripada apa yang beliau gambarkan sebagai “kekosongan politik” yang timbul akibat rasa kecewa terhadap kegagalan kerajaan menunaikan janji-janji reformasi.
“Secara empirikal, PN bukan tidak mendapat sokongan Melayu – malah mereka kini menguasai majoriti sokongan tersebut.
“Cabaran sebenar adalah untuk meraih sokongan pengundi Cina dan India melalui perjuangan terhadap isu-isu rentas kaum yang bersifat inklusif – pendekatan yang kini sedang dijalankan,” katanya.
Menurutnya lagi, “pembentukan tepat pada masanya satu gabungan politik yang menyatukan Melayu dan bukan Melayu di bawah satu payung adalah langkah kritikal bagi mengisi kekosongan yang ada.”
“Gabungan pemerintah sekarang tidak perlu ditekan dari luar untuk runtuh – kelemahan dalaman dan luaran mereka sendiri sudah cukup untuk perlahan-lahan menghakis asas buatan kerajaan Madani,” tegasnya.
Sementara itu, bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim memberi amaran pembangkang tidak boleh sekadar menunggu kejatuhan kerajaan secara semula jadi.
“Pembangkang mesti merangka visi masa depan yang berbeza; satu yang radikal, inklusif dan jujur.
“Kita tidak berjuang untuk menggantikan Anwar semata-mata, tetapi untuk menggantikan kerosakan sistem sedia ada dengan sesuatu yang berani dan benar-benar layak bagi masa depan Malaysia,” katanya pada satu hantaran di platform X.
Zaid turut mendedahkan senarai idea yang menurutnya boleh menjadi “teras ideologi pembangkang baharu” bagi memecahkan dominasi politik Anwar.
Antara cadangan yang dikemukakan Zaid termasuk:
-
Membongkar doktrin “Ketuanan Melayu” dan menggantikannya dengan konsep “maruah nasional”;
-
Mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC);
-
Tidak mempolitikkan kuota kemasukan universiti;
-
Menghapuskan monopoli berasaskan rent-seeking;
-
Mengembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan.
Mesyuarat Muhyiddin bersama parti-parti pembangkang ini diadakan menjelang perhimpunan “Turun Anwar” yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 Julai dan dijangka menarik sehingga 15,000 peserta menurut anggaran pihak berkuasa.