Malaysia Oversight

Pesara rugi lebih RM90,000 diperdaya penipu dalam talian

By MkiniBM in January 13, 2026 – Reading time 2 minute
Pesara rugi lebih RM90,000 diperdaya penipu dalam talian


Seorang pesara pegawai bank lelaki kerugian sebanyak RM91,550 selepas diperdaya sindiket tawaran kerja sambilan di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 5 Jan lalu mangsa yang berusia 57 tahun itu melihat iklan tawaran kerja sebagai ejen jualan di laman Facebook.

Katanya mangsa yang berminat telah menekan pautan yang tertera dalam iklan tersebut sebelum diikuti dengan menerima satu pesanan WhatsApp daripada suspek.

“Mangsa telah dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp AurionVilla dan diajar tentang cara terperinci menyelesaikan ‘tugasan’ iaitu membuat tempahan hotel melalui satu platform dalam talian.

“Selepas mendaftar sebagai ahli atau pekerja, mangsa dikehendaki membuat 90 kali tempahan hotel sehari menggunakan wang sendiri dan dijanjikan komisen untuk setiap tugasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata pada mulanya mangsa berasa sangat gembira kerana berjaya memperoleh keuntungan sebanyak RM4,000 apabila setelah menyelesaikan beberapa tugasan.

“Akibat terlalu yakin dan percaya, mangsa telah membuat tempahan lebih besar bagi mendapatkan keuntungan lebih lumayan.

“Mangsa bagaimanapun telah membuat laporan polis pada jam 1.39 petang semalam setelah gagal mendapatkan keuntungan yang dijanjikan,” katanya.

Sementara itu, seorang kerani klinik wanita hilang semua wang simpanannya berjumlah RM70,935, selepas ditipu sindiket sama.

Azli berkata mangsa yang berusia 54 tahun telah menerima hadiah Tupperware daripada individu tidak dikenali pada 1 Jan lalu.

Menurutnya, suspek kemudian menghubungi mangsa melalui panggilan telefon dan menawarkan kerja sambilan iaitu “like” dan “share” hantaran di laman sosial dengan komisen lumayan.

“Selepas menyelesaikan sebanyak 20 tugasan, mangsa telah diberi komisen.

“Suspek kemudiannya menawarkan komisen lebih tinggi kepada mangsa dengan syarat perlu membuat bayaran terlebih dahulu bagi mendapatkan tugasan.

“Mangsa yang percaya telah membuat 17 kali pembayaran secara deposit tunai dan transaksi dalam talian, tetapi akhirnya gagal mendapat komisen yang dijanjikan,” katanya.

Azli berkata mangsa membuat laporan polis selepas suspek mendesak supaya terus membuat pembayaran dengan pelbagai alasan.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Bernama



Source link