WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dilihat semakin cenderung kepada dasar luar yang bersifat campur tangan, dengan menggunakan tekanan ekonomi, amaran ketenteraan dan tindakan diplomatik yang provokatif.
Strategi itu dilihat hanya menekankan konfrontasi berbanding rundingan, sekali gus menimbulkan kebimbangan di peringkat antarabangsa terhadap potensi peningkatan konflik, khususnya di kawasan sensitif.
Iran kini menjadi antara fokus utama tindakan agresif Washington. Sekatan ekonomi yang berterusan dan amaran terhadap program nuklearnya menunjukkan Trump berusaha mengekang pengaruh Iran di Asia Barat.
Ketika protes menentang pemerintahan ulama di bawah Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei, meningkat di Iran, Trump mendakwa AS sedang mempertimbangkan kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap republik Islam itu.
“Kami sedang menelitinya dengan sangat serius. Pihak tentera sedang mengkajinya, dan kami sedang meneliti beberapa opsyen yang sangat tegas. Kami akan membuat keputusan,” katanya kepada wartawan selepas lawatan ke kediamannya di Mar-a-Lago, Florida kelmarin.
Ketika diminta untuk mengulas lanjut, Trump hanya memberikan jawapan retorik.
“Adakah anda mahu saya dedahkan apa yang akan saya lakukan, di mana, bila dan dari sudut mana serangan akan dilancarkan?
“Saya menerima laporan setiap jam dan keputusan akan dibuat mengikut perkembangan semasa,” katanya, sambil menyatakan kemungkinan pertemuan dengan pemimpin Iran.
Kenyataan itu adalah yang paling tegas sejak hantaran beliau di media sosial pada 3 Januari, di mana Trump berikrar campur tangan AS untuk ‘menyelamatkan’ penunjuk perasaan jika protes bertukar ganas.
Perkembangan terkini mengejutkan ramai rakyat Amerika, yang sebelum ini percaya mereka memilih seorang pemimpin yang suka menjaga diri sendiri dan tidak mahu terlibat dengan hal luar negara.
Ancaman tersebut berkemungkinan mencetuskan serangan kedua di Iran, selepas operasi ke atas kemudahan nuklear pada Jun tahun lalu, dan hampir seminggu selepas tindakan ketenteraan di Venezuela yang membawa penangkapan pemimpinnya, Nicolas Maduro.
IDEA TIDAK MASUK AKAL
Tidak hanya Iran, Trump juga turut mengugut Cuba untuk segera membuat perjanjian dengan Washington atau berdepan sekatan sepenuhnya terhadap bekalan minyak dan kewangan.
Trump meningkatkan nada ancamannya pada Ahad, ketika sekutu rapat Venezuela dan penerima utama bekalan minyak negara itu bersiap sedia menghadapi kemungkinan pergolakan besar-besaran susulan penyingkiran Maduro.
“Tiada lagi minyak atau wang akan disalurkan ke Cuba, sifar! Saya amat mengesyorkan mereka membuat perjanjian sebelum terlambat,” tulis Trump di platform Truth Social.
Bagaimanapun, Trump tidak menjelaskan bentuk perjanjian yang dimaksudkan.
Tindakan itu meningkatkan tekanan terhadap Havana selepas AS sebelum ini mengenakan sekatan maritim ke atas sektor minyak penting di Venezuela.
Seminggu lalu, Trump mendakwa Cuba bersedia untuk tumbang, dengan menyatakan krisis ekonomi pulau itu semakin teruk dan sukar bagi Havana untuk bertahan.
Bahkan, pemimpin Republikan itu sempat mempromosikan ‘idea tidak masuk akal’ untuk Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menjadi pemimpin Cuba seterusnya.
Sementara itu, Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel menyelar kenyataan Trump dan menyatakan rakyatnya sentiasa bersedia mempertahankan tanah air mereka sehingga ke titisan darah terakhir.
Menteri Luar Cuba, Bruno Rodriguez turut menegaskan bahawa negaranya mempunyai hak mutlak untuk mengimport bahan api tanpa perlu tunduk kepada tekanan sepihak AS.
Sekatan perdagangan AS sejak era Perang Dingin yang bermula pada 1962, ‘mengunci’ ekonomi Cuba, dan sejak tahun 2000, Havana semakin bergantung kepada minyak dari Venezuela melalui perjanjian yang dibuat dengan pemimpin berhaluan kiri, Hugo Chávez.
Bahasa provokatif Trump terhadap Cuba dibuat ketika beliau memberi isyarat turut menumpukan perhatian kepada negara lain selepas penangkapan Maduro.






