Nama Terence Law atau lebih dikenali sebagai T-Rex Kamikaze bukan asing dalam landskap muzik rock tempatan. Sebagai bekas vokalis kumpulan Kamikaze, T-Rex pernah mencipta fenomena menerusi lagu-lagu seperti Luhur, Tawa Dalam Tangisan dan Pergi Selamanya, sekali gus membina pengaruh tersendiri dalam kalangan peminat muzik rock Malaysia.
Keupayaan T-Rex menghayati lagu-lagu berbahasa Melayu dengan penuh emosi turut mendapat pengiktirafan ramai, menjadikannya antara figura bukan Melayu yang disegani dalam arena muzik rock tempatan.
Selepas melalui tempoh panjang tanpa pelancaran album, T-Rex kini kembali dengan buah tangan terbaharu menerusi EP berjudul ‘T-Rex Kembali Menyala’, sekali gus menandakan kepulangannya secara rasmi ke persada muzik tanah air.
EP ini mempertaruhkan single utama ‘Revive’, yang membawa makna kebangkitan dan kesinambungan seni. Secara keseluruhan, ‘T-Rex Kembali Menyala’ menjadi refleksi ketahanan diri, kebangkitan semula dan perjalanan peribadi T-Rex yang diterjemahkan melalui muzik rock yang jujur dan beremosi.
Mengandungi lima buah lagu, EP ini menggambarkan fasa perjalanan seni dan kehidupan T-Rex, dengan ‘Revive’ menjadi teras utama yang melambangkan kepulangannya bukan sebagai penjenamaan semula, sebaliknya kesinambungan suara yang tidak pernah benar-benar hilang.
“EP ini bukan tentang mengejar trend atau membuktikan sesuatu. Ia tentang bangkit semula dan membiarkan muzik berbicara dengan caranya sendiri. Peminat perlu menikmati lagu-lagu ini untuk mendalami dan mentafsir apa yang ingin disampaikan,” katanya.
Walaupun video muzik rasmi masih dalam peringkat persiapan, karya-karya dalam EP ini sudah boleh dinikmati menerusi pelancaran digital, dengan kandungan visual tambahan dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
EP T-Rex Kembali Menyala kini boleh ditonton di YouTube, manakala pelancarannya di Spotify dan Apple Music akan menyusul tidak lama lagi.
Mengimbas perjalanan awalnya bersama Kamikaze, kumpulan tersebut pernah mencatat pencapaian penting apabila memenangi Anugerah Album Rock Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) 2001. Sebagai antara figura awal dalam arena muzik rock Malaysia, T-Rex kekal dikenali dengan persembahan bertenaga dan penulisan lagu berteraskan emosi nyata yang membina kelompok peminat setia sehingga hari ini.





