Bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli memberi amaran tentang rasa tidak puas hati yang semakin ketara di akar umbi parti itu dan membandingkannya dengan peristiwa ahli-ahli Umno keluar parti pada tahun 1998.
Dia berkata ketidakpuasan hati itu berpunca daripada pemilihan PKR baru-baru ini yang menyaksikan ahli mempersoalkan ketelusan proses pengundian.
“Sama contohnya bila reformasi berlaku 98, orang-orang Umno yang meninggalkan Umno masa tu.
“Sebahagiannya tu awal-awalnya kerana kemarahan mungkin Anwar Ibrahim dipecat, sebahagiannya kerana dia tidak boleh terima caranya.
“Tapi saya rasa banyaknya juga ialah kerana aku dah tak kenal dah parti ini. Jadi itu yang saya maksudkan.
“Jangan dalam kegilaan kita merebut kuasa, jawatan semua hanya untuk tu sampai kita buat orang rasa macam ini bukan rumah aku dah.
“Bila org dah sampai ke peringkat ni bukan rumah aku, bahaya, sebab dia tak pernah dapat apa, dia tak pernah dapat jawatan ke apa, bila dia dah rasa mcm itu, dia move on. Move on tu nak suruh balik semula, tak mudah,” katanya pada episod terbaru podcast “Yang Berhenti Menteri” malam tadi.
Pada tahun 1998, Anwar dipecat daripada semua jawatannya, termasuk sebagai timbalan presiden Umno, mencetuskan siri demonstrasi awam mendesak pengunduran perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad serta kelahiran gerakan reformasi.
Beberapa pemimpin akar umbi Umno turut turun ke jalanan menuntut keadilan untuk Anwar.
Pemilihan PKR yang baru selesai menyaksikan kekalahan Rafizi dan sekutunya di tengah dakwaan penyelewengan, khususnya berkaitan sistem e-undi di peringkat cabang.
Rafizi, yang tewas jawatan timbalan presiden kepada anak perempuan Anwar, Nurul Izzah, kemudian meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi manakala sekutunya, Nik Nazmi Nik Ahmad, turut berundur sebagai menteri sumber asli dan kelestarian alam sekitar tidak lama selepas itu.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata sesebuah parti politik tidak sepatutnya membentuk kerajaan jika mereka tidak bersetuju terhadap perkara asas.
“Sebagai pembangkang sebenarnya kelebihan kau tak payah buat tapi kalau ada idea dan fakta yang bagus kita boleh jadi semak imbang yang akhirnya kerajaan kena ikut… dan itulah fungsi yang telah dimainkan oleh PH dan PKR untuk masa yang lama lah,” katanya.
Menurut Rafizi, berada dalam kerajaan ada kelebihan juga misalnya boleh melaksanakan dasar tetapi ia mengambil masa.
Dia turut berkongsi tentang pembentukan Kerajaan Perpaduan kini, yang menyaksikan PHbekerjasama dengan seteru lama, BN.
Selepas Pilihan Raya Umum ke-15, tiada gabungan yang memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
Kata Rafizi, BN ketika itu belum memutuskan sama ada mahu menyokong PH ataun PN kerana perlu mendengar tawaran daripada kedua-dua pihak terlebih dahulu.
Namun, selepas mendengar kekecewaan BN dalam rundingan dengan PN, Rafizi berkata dia segera menyediakan kenyataan yang mengandungi senarai komitmen PH kepada Umno, yang kemudian diserahkan oleh Setiausaha Agung PH ketika itu, Saifuddin Nasution Ismail, kepada Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.
“Akhirnya yang saya dimaklumkan dalam mesyuarat BN yang terakhir itu pandangannya ialah betull ah, PH ni DAP, PKR. Tapi nampak mereka lebih ikhlas kerana paling kurang dia dah set out semua principle kita nak berkongsi kuasa macam mana ni.
“Kalau dengan PN ni, main mulut sahaja dan dia tak pandang kita. Jadi senarai komitment itu yang mengubah pendirian BN ke arah menyokong PH,” katanya.
Mengenai pencalonan kontroversi Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Rafizi berpendapat pengaruh Adams boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh hubungan dengan Rumah Putih dalam isu tarif perdagangan.
“Bagi saya, yang paling penting begini eh, apa-apa pun, kita kena pastikan bahawa dalam perang tarif yang sednag berlaku sekarang ini, kita ada pengaruh yang kuat dengan White House, dengan Trump.
“Dari segi itu, kalau Malaysia pandai imbangkan, kalau Nick Adams ini adalah pempengaruh politik yang rapat dgn Trump, ia sewajarnya digunakan sebagai satu strategi yang baik oleh kerajaan kita.
“Jadi kita tak boleh nak tengok dari satu perspektif sahaja kerana kita bantah macam mana pun, kemungkinan besar dia (ditetap) tetap ada,” katanya.
Sekiranya Adams mengeluarkan pandangan pro-Zionis semasa bertugas sebagai duta, kata Rafizi, kerajaan Malaysia boleh membuat bantahan rasmi seperti menghantar nota diplomatik kepada AS.
Pada 11 Julai, The New York Times melaporkan Presiden AS, Donald Trump telah mencalonkan Adams sebagai duta AS ke Malaysia.
Sejak pengumuman itu, pelbagai pihak di Malaysia menyuarakan bantahan terhadap pelantikan tersebut.
Semalam, sekumpulan 50 orang penunjuk perasaan telah menghantar memorandum ke Kedutaan AS di Kuala Lumpur bagi membantah pencalonan Adams.
Adams, 40, yang memiliki kerakyatan Australia-Amerika merupakan personaliti media sosial, penulis dan menggelarkan dirinya “lelaki alfa”, bakal menggantikan Edgard Kagan — diplomat kerjaya yang dilantik oleh bekas Presiden Joe Biden pada Mei 2023.