FCC Meluluskan 7500 Satelit Starlink Gen 2 Untuk Meningkatkan Mutu Rangkaian Global
Nazrin
Starlink, syarikat penyelia rangkaian internet satelit baru-baru ini telah menerima kelulusan dari pihak Federal Communications Commission dari Amerika Syarikat untuk melancarkan 7500 satelit Starlink Gen2 ke angkasa lepas baru-baru ini.
Buat masa ini, Starlink sudahpun mempunyai 7500 satelit Gen2 ini di angkasa lepas, dan kelulusan satelit tambahan ini akan meningkatkan jumlah tersebut ke 15,000 satelit yang dijangka akan meningkatkan kelajuan rangkaian internet satelit tersebut, disamping mengurangkan masa pendam rangkaian tersebut.
Starlink mempunyai pelan untuk melancarkan sebanyak 30,000 satelit Gen2 ke angkasa lepas, dan kini, nampaknya separuh daripada jumlah tersebut akan berjaya dilancarkan kelak. Lebihan satelit tersebut adalah bergantung kepada berapa lajukah kelulusan boleh dikeluarkan untuknya.

Dengan kelulusan ini, pihak FCC mengatakan bahawa separuh daripada satelit yang diluluskan ini perlu beroperasi menjelang 1 Disember 2028, dan selebihnya perlu dilancarkan dan beroperasi menjelang 1 Disember 2031.
Selain daripada kelulusan ini, pihak FCC juga meluluskan pelancaran satelit pada orbit yang lebih rendah, pada ketinggian 340-365km dan mereka dibenarkan untuk menggunakan julat frekuensi 1910-1915 MHz untuk sambungan muat-naik dan 1990-1995 MHz untuk sambungan muat-turun di Amerika Syarikat.
Untuk negara-negara lain, Starlink akan perlu meminta kebenaran badan komunikasi negara masing-masing untuk menggunakan spektrum khusus pada ketinggian tersebut sekiranya dibenarkan.






