CHERBOURG: Angin kencang dan ribut melanda utara Eropah semalam, mengganggu perjalanan udara dan kereta api serta memotong bekalan elektrik kepada ratusan ribu rumah dalam suhu beku.
Lebih 50 penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Heathrow, London, menjejaskan ribuan penumpang, dengan perjalanan udara terganggu di seluruh Eropah dari Republik Czech hingga Moscow.
Peramal cuaca dari Britain hingga Jerman menasihati orang ramai agar kekal di dalam rumah sambil mengeluarkan amaran cuaca, termasuk angin tahap merah yang jarang berlaku untuk Kepulauan Scilly dan Cornwall di barat daya England.
Semua perkhidmatan kereta api di Cornwall dibatalkan pada Jumaat.
Lebih 57,000 rumah di UK masih mengalami gangguan bekalan elektrik, menurut penyedia tenaga National Grid, selepas ribut Goretti membawa angin kencang dan salji lebat ke beberapa bahagian negara itu sepanjang malam.
Lebih 250 sekolah ditutup di seluruh Scotland, yang menghadapi cuaca buruk sepanjang minggu pertama selepas cuti Krismas.
Di Perancis, Goretti memotong bekalan elektrik kepada sekitar 380,000 rumah, kebanyakannya di wilayah Normandy utara, menurut penyedia tenaga Enedis.
Tiupan angin sehingga 216 kilometer sejam direkodkan di wilayah Manche, barat laut Perancis, kata pihak berkuasa.
Angin kencang menumbangkan pokok, termasuk sekurang-kurangnya satu pokok yang merosakkan bangunan kediaman di wilayah Seine-Maritime, Perancis, tanpa mencederakan sesiapa, menurut pihak berkuasa.
Di England dan Wales, angin kencang sehingga 160 km/jam melanda, dengan agensi ramalan cuaca Met Office memberi amaran mengenai ‘ombak besar’ yang membawa “keadaan berbahaya di kawasan pesisir.”
Agensi itu juga mengeluarkan amaran salji amber di Wales, tengah England, dan sebahagian utara England, meramalkan salji setinggi 30 sentimeter (11 inci) di beberapa kawasan.
Lebih 10 maut akibat kemalangan berkaitan cuaca minggu ini di seluruh Eropah.
Kematian terkini dilaporkan oleh media Turkiye, di mana lima orang terbunuh.
Daripada mereka, dua maut akibat kemalangan berasingan melibatkan jubin bumbung yang tercabut, seorang lelaki Syria maut apabila sebuah dinding runtuh ke atasnya, seorang pekerja pembinaan terhanyut ke Laut Aegean, manakala seorang pesara terjatuh dari bumbung.- AFP






