Kegagalan Putrajaya untuk mendapatkan keadilan bagi keluarga mendiang Teoh Beng Hock boleh menyebabkan DAP tersungkur pada pilihan raya umum akan datang, demikian amaran seorang bekas pemimpin parti itu.
Bekas ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Ronnie Liu berkata parti itu berisiko kehilangan sokongan daripada para penyokong yang sekian lama mengharapkan pihak bertanggungjawab atas kematian Teoh didakwa di mahkamah.
““Daripada pemerhatian saya, DAP mendapat sokongan kerana rakyat percaya parti itu memperjuangkan keadilan.
“Jika ia tidak lagi dapat mempertahankan prinsip itu, ia berisiko kehilangan kekuatan asalnya.

“Mereka mungkin tidak mengundi parti lain, tetapi mereka juga tidak akan undi DAP. Itu bahayanya,” katanya seperti dilaporkan oleh FMT.
Kenyataan Liu dibuat sempena ulang tahun ke-16 kematian Teoh semalam, yang turut menyaksikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat pertama kali mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga mangsa atas segala penderitaan yang ditanggung.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, turut mengumumkan kesediaan agensi itu untuk memberi “sumbangan ihsan” kepada keluarga Teoh, khususnya bagi menyokong kebajikan dan keperluan pendidikan anak tunggal mendiang.
Namun begitu, keluarga Teoh pada hari yang sama menolak tawaran tersebut, menegaskan mereka mahukan keadilan, bukannya wang.
Pada 2009, Beng Hock yang merupakan pembantu kepada exco Kerajaan Negeri Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati selepas sesi soal siasat semalaman di pejabat SPRM Selangor yang ketika itu berpusat di Plaza Masalam, Shah Alam.
Satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada tahun 2011 memutuskan Beng Hock telah didorong untuk membunuh diri akibat kaedah soal siasat yang agresif.
Namun, pada tahun 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kematiannya disebabkan atau dipercepatkan oleh perbuatan menyalahi undang-undang, termasuk yang dilakukan oleh pegawai SPRM.
Pada 21 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan pihak polis untuk menyiapkan siasatan terhadap kematian Beng Hock dalam tempoh enam bulan.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara pada Mei lalu akhirnya mengklasifikasikan kes tersebut sebagai “tiada tindakan lanjut” (no further action).