Malaysia Oversight

JKDM patahkan 7,097 kes cubaan seludup, seleweng duti, cukai

By Utusan in January 9, 2026 – Reading time 2 minute
JKDM patahkan 7,097 kes cubaan seludup, seleweng duti, cukai


: Sebanyak 7,097 kes cubaan penyeludupan dan penyelewengan duti serta cukai berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, tindakan penguatkuasaan itu melibatkan sitaan pelbagai jenis barangan, termasuk barangan bercukai dengan nilai keseluruhan mencecah RM1.88 bilion.

“Pencapaian ini merekodkan peningkatan ketara sebanyak 15.33 peratus, bersamaan RM250.71 juta, berbanding RM1.63 bilion pada 2024.

“Prestasi ini mencerminkan keupayaan dan ketegasan JKDM dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara berterusan sekali gus melindungi hasil negara serta mengekang aktiviti penyeludupan dan penyelewengan yang menjejaskan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM di sini hari ini.

Beliau berkata, antara barangan utama yang dirampas adalah melibatkan 2,472 kes rampasan rokok bernilai RM497.27 juta, 920 kes rampasan minuman keras (RM128.46 juta), 734 kes rampasan dadah (RM490.75 juta), 516 kes rampasan kenderaan (RM190.27 juta) serta rampasan mercun dan bunga api bernilai RM22.69 juta.

Jelasnya, bagi barangan rampasan melibatkan kenderaan, JKDM melaksanakan pelupusan mengikut kaedah yang ditetapkan di bawah pekeliling atau peraturan semasa yang berkuat kuasa termasuk pelupusan melalui tender terbuka.

“Manakala, bagi barangan rampasan melibatkan rokok dan minuman keras, JKDM ingin menegaskan bahawa komoditi tersebut tidak dijual kepada orang awam, sebaliknya dilupuskan sepenuhnya melalui kaedah pelupusan selaras dengan pekeliling semasa yang berkuat kuasa seperti pelupusan rokok secara rincih,” ujarnya. – UTUSAN





Source link