Dua tahun kebelakangan ini berlaku penjenamaan semula PC Windows menjadi AI PC atau Copilot+ PC kerana Microsoft percaya kecerdasan buatan (AI) adalah masa depan. Setiap PC baharu dilengkapi butang khas untuk CoPilot dengan peranti perlu mempunyai cip dengan NPU untuk menggunakannya. Tetapi di CES 2026. Dell melakukan pengakuan berani konsumer sebenarnya tidak begitu peduli dengan ciri AI pada PC menurut laporan PCGamer.

Ketua produk Dell, Kevin Terwilliger dipetik berkata “apa yang telah kami pelajari sepanjang tahun ini, terutamanya dari perspektif konsumer ialah mereka tidak membeli berdasarkan ciri AI,”. Tambah beliau lagi, “malah saya fikir AI mungkin lebih mengelirukan mereka”. Tahun ini ketika melancarkan produk di CES, Dell tidak memberikan penekanan terhadap AI sebaliknya lebih kepada rekaan, mengembalikan semula jenama XPS dan prestasi bateri yang lebih tahan lama.
Hakikatnya ialah ciri AI walaupun menarik tidak digunakan sepanjang masa oleh sebilangan besar konsumer. Penambahan ciri AI dalam pelbagai aplikasi dilihat sebagai tidak diperlukan dan dalam menambah kos langganan sehingga menimbulkan kemarahan pengguna.





