Infinix NOTE 60 Bakal Hadir Dengan Teknologi Komunikasi Satelit Global
Amy Maizuraa
Infinix mencipta kejayaan baharu dengan memperkenalkan teknologi panggilan satelit global melalui model terbaharu Infinix NOTE 60. Peranti itu kelak boleh menjadi telefon pertama yang menyokong teknologi komunikasi satelit secara menyeluruh.

Ia merupakan kesinambungan daripada teknologi ‘Explorer Satellite Communication‘ yang diperkenalkan oleh Infinix pada tahun 2023. Berbeza dengan fungsi satelit sebelum ini yang hanya digunakan sewaktu kecemasan, Infinix menjadikannya sambungan kecemasan yang sentiasa aktif. Sistem ini bukan sahaja menyokong pemesejan teks dua hala malah membolehkan panggilan suara dua hala dengan kualiti HD.

Infinix mendakwa teknologi satelit ini mampu meliputi hampir 2/3 permukaan bumi lalu menjadikannya sesuai untuk pengguna yang bekerja atau berada di kawasan dengan liputan minimum seperti gunung, laut terbuka dan pedalaman. Selain itu, sistem turut menyokong penukaran automatik antara rangkaian mudah alih dan satelit agar sambungan kekal stabil tanpa memerlukan tetapan manual oleh pengguna.
Walaupun kelajuan penghantaran terhad pada 4Kbps, Infinix menegaskan bahawa sistem itu telah dioptimumkan untuk panggilan suara HD dan SMS dua hala. Dengan kemampuan beralih secara automatik antara rangkaian satelit dan perayauan (roaming), Infinix NOTE 60 kelak diyakini mampu memastikan sambungan yang konsisten meskipun berada di kawasan tanpa liputan mudah alih biasa.






