Doktor menasihatkan agar bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tidak menjalani pembedahan pinggul berikutan risiko komplikasi disebabkan faktor usia, kata anaknya Mukhriz Mahathir.
Mukhriz yang juga presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, keluarganya menerima nasihat pakar dari Institut Jantung Negara (IJN) serta Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) supaya Mahathir menjalani proses pemulihan biasa, yang dijangka mengambil masa.

“Melihat status kesihatannya, sudah tentu ini mungkin mengambil masa yang agak lama, mungkin melibatkan dua hingga tiga minggu untuk berehat.
“Oleh kerana faktor usia yang telah melebihi 100 tahun, pembedahan juga bukan satu pilihan yang baik,” katanya menerusi satu video yang diterbitkan hari ini yang dirakamkan di ibu pejabat Pejuang, di Kuala Lumpur.
“Namun tujuan utama adalah untuk memastikan ayah saya kembali pulih seperti sedia kala dan seterusnya menyambung semula tugas-tugasnya seperti biasa.
“Pada masa yang sama, saya juga menggesa semua pihak supaya memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk beliau berehat dan pulih sepenuhnya,” tambahnya.
Semalam, Mahathir dibawa ke IJN di Kuala Lumpur selepas terjatuh di kediamannya di Seri Kembangan, Selangor.
Pembantunya, Sufi Yusoff, mengesahkan kepada media bahawa Mahathir memerlukan beberapa minggu untuk menjalani rawatan dan pemantauan di hospital.
Dia turut menjelaskan kejadian sekitar jam 9 pagi itu, Mahathir sedang “bergerak” dari balkoni ke ruang tamu, dan bekas perdana menteri dua kali itu kekal sedar sebelum dikejarkan ke hospital.
Mahathir kali terakhir dimasukkan ke IJN pada Julai tahun lalu selepas mengalami keletihan ketika menghadiri satu majlis di Putrajaya. Insiden itu berlaku hanya beberapa hari selepas dia menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-100.






