Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan bahawa sebanyak 10,112 peralatan komunikasi yang tidak diperakui mengikut standard teknikal telah disita dalam operasi bersepadu yang dikenali sebagai Op Optik. Tindakan ini melibatkan peralatan yang dijual secara fizikal serta melalui platform e-dagang dan media sosial.

Memetik rakaman video yang dikongsikan melalui platform X, operasi tersebut turut memperlihatkan penyitaan pelbagai produk termasuk kamera litar tertutup (CCTV) serta beberapa peralatan sokongan operasi premis seperti komputer, mesin cetak, telefon bimbit dan router WiFi. SKMM menegaskan bahawa penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi membanteras penjualan peralatan komunikasi tidak diperakui.
Menurut SKMM lagi, tindakan tegas ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengawal selia pasaran komunikasi serta memastikan hanya peralatan yang diperakui dan memenuhi piawaian ditawarkan kepada pengguna di Malaysia.






