China Menyiasat Pembelian Manus Oleh Meta
Effi Saharudin
Minggu lalu syarikat ejen AI Manus telah diambil alih oleh Meta dengan ia dilaporkan bernilai sekitar $2 bilion. Pembelian dilihat sebagai usaha Meta mencari jalan pintar menawarkan ejen AI serta menjana pendapatan daripada pelanggan perniagaan. Menurut Reuters, pihak berkuasa China telah memulakan siasatan ke atas pembelian ini.

Walaupun kini berpangkalan di Singapura, pada asalnya Manus ditubuhkan di China dengan pejabat terletak di Wuhan serta Beijing. Siasatan dilakukan bagi memastikan pembelian adalah sah kerana undang-undang China tidak membenarkan model AI ciptaan syarikat tempatan dijual dan kakitangan dipindahkan keluar daripada negara lain tanpa kebenaran kerajaan.
Ini adalah sebab mengapa penjualan perniagaan TikTok di Amerika Syarikat mengambil masa yang lama dengan aplikasi akan menggunakan algoritma berbeza di negara tersebut. Algoritma baharu untuk TikTok Amerika akan menggunakan selera serta data pengguna negara tersebut. Wujud dakwaan algoritma sebelum ini adalah anti semetik kerana memaparkan genosid di Palestin.
Selepas diambil alih, Manus tidak lagi menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan dari China. Tiada sebab diberikan tetapi ini pastinya mengundang perhatian pihak berkuasa.






