Malaysia Oversight

STF cemerlang raih 16 anugerah pertandingan antarabangsa 2025

By Utusan in January 7, 2026 – Reading time 3 minute
STF cemerlang raih 16 anugerah pertandingan antarabangsa 2025


SEKOLAH Tun Fatimah (STF), Johor Bahru, Johor membuktikan kecemerlangan di persada antarabangsa apabila muridnya meraih kejayaan dalam 16 pertandingan dengan mengumpulkan 14 anugerah emas dan gangsa serta tiga gelaran johan sepanjang 2025.

Utusan Pelajar page 17 18 WhatsApp Image new
Majlis Graduasi dan Anugerah Tun Fatimah (MATF) yang diadakan 14 Jun 2025 bagi meraikan pelajar dan guru STF atas kecemerlangan dalam akademik, sahsiah, kokurikulum dan kepimpinan.

Sebanyak sembilan anugerah emas dimenangi menerusi World Youth STEM Invention Innovation 2025 (dua anugerah) di Medan, Indonesia; Borneo International Innovation Creativity Competition 2025, Kuching, Sarawak (tiga anugerah); Malaysia International Young Inventors Olympiad (MIYIO) 2025 di Melaka (tiga anugerah); serta satu lagi pada pertandingan GELOSEA International Round 2025 di Korea.

Lima anugerah gangsa pula diraih dengan tiap satu masing-masing menerusi Malaysia International Wind Festival (MIW Fest) 2025; SBP Wind Orchestra Festival 2025; World Youth STEM Invention Innovation 2025; Science Castle 2025; dan SEASCO International Round 2025.

Peserta STF meraih tiga kejuaraan apabila muncul johan pertandingan Tari Klasik Etnik Nusantara Bogor 2025; 33rd International Folklore Competition ‘Etoiles de Paris’ di Perancis; serta Tun Fatimah International Public Speaking 2025 (TFiPC) di STF selaku tuan rumah.

utusan Pelajar page 17 18 xx new
STF menjuarai kedua-dua kategori dalam Tun Fatimah lnternational Public Speaking Competition
(TFiPC 2025) yang diadakan Ogos tahun lalu.

 

Pencapaian terakhir murid STF di peringkat antarabangsa adalah menerusi All Japan Robot Sumo Tournament 2025 di Tokyo sehingga pusingan 16 acara bertaraf dunia itu.

Pencapaian hebat itu dinyatakan oleh Pengetua STF, Radziah Mohd Din ketika berucap daam majlis Anugerah Kokurikulum dan Sistem Rumah (MAKKSR) 2025, di Dewan Bestari sekolah itu, baru-baru ini.

Majlis dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Datuk Lukman Abu Bakar.

Radziah berkata, seramai 235 murid STF menyertai semua pertandingan tersebut sekali gus menyaksikan keupayaan mereka bersaing dalam bidang inovasi, kesenian, debat, pidato, sukan dan muzik di peringkat tertinggi.

Beliau memberitahu, murid sekolah itu turut unggul dalam pelbagai pertandingan di peringkat kebangsaan apabila meraih 24 kemenangan termasuk mencatatkan rekod dan sejarah tersendiri dengan menjuarai Kejohanan Bola Jaring selama sembilan tahun berturut-turut.

“Inilah kelebihan anak-anak yang membuktikan mereka sedia bersaing dalam semua bidang akademik, kokurikulum, persatuan, kelab mahu pun unit beruniform,” katanya.

Menurutnya, kokurikulum adalah medan penting dalam pembentukan sahsiah dan kepimpinan murid mengenali erti disiplin, nilai kerjasama, semangat setia kawan serta ketahanan menghadapi cabaran.

Utusan Pelajar page 17 18 WhatsApp Image 2026 01 05 at 5.11.25 PM nnew

 

“Penglibatan dalam kelab, persatuan, unit beruniform, sukan dan permainan serta pelbagai program antara lain berjaya menggilap potensi diri, membina keyakinan serta meningkatkan komunikasi mereka,” katanya.

Radziah berkata, kejayaan di STF tidak dapat dipertahan dan dilestarikan jika tidak ada sokongan semua pihak iaitu barisan guru, kakitangan sekolah, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), kumpulan Sarana dan Rakan Strategik serta komitmen tinggi murid.

Terdahulu, Lukman berkata, pencapaian cemerlang itu membuktikan murid SBP sentiasa bersedia untuk bersaing dengan yakin dan berani di mana sahaja mereka berada. Semua pencapaian tersebut bukan sahaja mengharumkan nama sekolah tetapi membuktikan pembangunan modal insan yang dilaksanakan berada pada landasan yang betul.

“Majlis seperti ini bukan sahaja boleh merangsang dan mendorong pemikiran positif serta semangat untuk berjaya malah menjadi pendorong untuk memantapkan diri murid dari segi akademik, kokurikulum, sahsiah, disiplin, kerohanian serta 3K iaitu kebersihan, kesihatan dan keselamatan,” katanya yang diwakili Ketua Jabatan Yayasan KPRJ, Sutina Ramli.

Atas kecemerlangan yang holistik dalam akademik, kokurikulum dan sahsiah, STF menerima Anugerah Terbaik Keseluruhan 2024 dalam kalangan Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh pada Majlis Anugerah Kecemerlangan yang diadakan pada 27 September 2024 oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh di .

Mengimbas pencapaian dari segi akademik, STF mencatatkan keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 apabila mencapai skor 1.04 Gred Purata Sekolah (GPS), sebanyak sembilan calon mendapat 9A+ manakala 65 calon meraih 9A sekali gus menjadikan pencapaian A sebanyak 83.57 peratus. Pencapaian tersebut melayakkan STF berada pada kedudukan kedua terbaik peringkat kebangsaan berdasarkan pencapaian GPS 2024. –UTUSAN

 

 

 





Source link