Lego Lancarkan Bongkah Pintar Menjadikan Set Permainan Lebih Interaktif
Effi Saharudin
Lego bermula sebagai permainan bongkah kayu di Denmark pada tahun 1949. Serasi dengan peredaran zaman, Lego kemudiannya berubah menjadi bongkah plastik yang masih digunakan sehingga sekarang. Pagi ini di CES, evolusi seterusnya Lego ialah menawarkan sistem bongkah pintar Lego SMART Play yang menjadikan set mereka lebih interaktif.

Lego SMART Play terdiri daripada bongkah pintar SMART Brick, SMART Tag dan SMART Minifigure. SMART Brick dilengkapi mikropemproses, lampu, speaker, accelerometer dan kemampuan mengesan SMART Tag dan Minifigure.
SMART Brick akan mengeluarkan audio dan lampu berbeza bergantung kepada maklumat yang disimpan dalam SMART Tag dan Minifigure. Accelerometer boleh mengesan pergerakan dan ini akan membolehkan klip audio lain dimainkan.

Setiap SMART Bricks dilengkapi bateri yang dicas semula secara nirwayar. Sistem gegelung yang digunakan untuk pengecasan juga digunakan untuk mengesan maklumat disimpan dalam SMART Tag dan Minifigure.
Tiga set terawal menyokong sistem SMART Play ialah set Darth Vader’s TIE Advanced, X-Wing dan Throne Room Duel & A-Wing. Kesemua set dilengkapi SMART Tag dan juga SMART Minifigure tersendiri bagi memberikan pengalaman permainan yang unik kepada pembeli.






