Malaysia Oversight

Menyanggah mitos penyajak muda belum kuat

By MkiniBM in July 16, 2025 – Reading time 5 minute
Menyanggah mitos penyajak muda belum kuat


Khalayak sastera sekali lagi disaji dengan kenyataan yang tidak lain seperti lagu lama diputar semula “penyajak muda tidak cukup kuat”. Tiada kejutan. Tiada gegaran. Tiada letupan pemikiran. Lantas, yang lama terus ditatang seperti kemenyan di kepala permaisuri, dan yang baru disisih dengan senyum sipu “belum cukup ranum”.

Berita Dewan Sastera dalam talian yang dikatakan membawa suara penjurian Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022, kelihatan sangat jelas bahawa pemikiran panel juri, atau sekurang-kurangnya salah seorang daripadanya, masih terkurung dalam tempurung nostalgia yang menganggap kejutan itu segala-galanya dalam puisi. Adakah sastera hanya sah diiktiraf apabila ia menjadi letupan?

Jika ‘mengejutkan masyarakat’ dijadikan tolok ukur, maka kita sedang menghidupkan semula budaya nilai kejutan, bukan kedalaman sastera. Inilah masalah besar apabila juri terlalu taksub pada satu paradigma bahawa sastera hanya layak menang jika ia bersifat revolusioner. 

Padahal, ada revolusi yang berlangsung dalam diam, dalam sayu, dalam trauma yang hanya difahami oleh generasi yang membesar dalam kemelut iklim, dislokasi digital juga kesenyapan spiritual. Tetapi sayang, revolusi dalam bentuk begitu terlalu lembut untuk gegendang juri yang hanya peka kepada dentuman.

Dan yang lebih menyakitkan, di manakah senarai akhir penyajak muda yang disebut gagal itu? Jika benar mereka tidak cukup matang, maka demi keadilan sastera dan pembelajaran khalayak, terbitkanlah senarai pendek itu seperti yang dilakukan oleh Hadiah Puisi T Alias Taib oleh penerbitan Katapilar. Sebuah hadiah yang bahkan tidak bernaung bawah institusi besar negara, tetapi cukup profesional dan hormat kepada peserta dan khalayak sastera.

Mereka umumkan bukan sekadar pemenang, tetapi juga 25 manuskrip akhir yang kuat, supaya masyarakat sastera dapat melihat karya apa yang hampir-hampir menang dan para penyair muda pula belajar untuk mendekatkan diri dengan mutu yang dicari.

HSPM? Tiada senarai pendek, jika tidak pun senarai panjang. Tiada paparan karya. Tiada platform semakan umum. Semua tertutup dan terlindung seolah-olah rahsia negara. Ironinya, DBP sebagai penerbitan utama negara yang selama ini melaungkan semangat “merakyatkan sastera” gagal melakukan perkara paling asas, menghimpunkan karya yang menang dalam satu penerbitan antologi khusus. 

Dahulu, Hadiah Sastera Utusan pun menerbitkan buku kompilasi karya-karya yang menang setiap tahun. Hadiah Sastera juga sudah melakukannya. Tetapi HSPM, dengan segala infrastruktur, kuasa, dan warisan budaya yang diagungkan hanya berakhir sebagai upacara menobatkan individu, bukan medan penghayatan karya.

Apalah maknanya sebuah hadiah sastera jika karya-karya yang menang terpaksa digali semula seperti artifak purba, dicari dalam fail majalah satu per satu, di hujung rak perpustakaan yang berhabuk? Ini bukan merakyatkan sastera, ini mengeramatkan sastera dan keramat yang tidak boleh disentuh, lama-kelamaan hanya akan menjadi batu nisan yang tidak dibaca.

Artikel berita ini juga seakan membina naratif “tiada peningkatan sejak 2019/2020”, satu kenyataan yang tidak bersandarkan analisis teks, sebaliknya bersifat selera peribadi. Tiada contoh puisi ditampilkan. Tiada petikan. Tiada konteks. Sekadar keputusan rambang yang disadur dengan jenama juri veteran, lalu dianggap suci tanpa soal. Sedangkan sebarang kritikan yang adil harus bermula dari teks, bukan takhta apatah lagi kroni.

Lebih malang, apabila senarai pemenang diangkat, kita disuguh sekali lagi dengan nama-nama besar. Seakan-akan HSPM itu pentas peringatan untuk legenda, bukan medan pertarungan untuk wacana baharu. Tiada siapa menafikan kehebatan mereka. Namun, bukankah anugerah sepatutnya juga menjadi wadah melahirkan generasi baru, bukan sekadar melagukan semula bentuk-bentuk puisi yang telah lama dimahkotai?

Dan ironinya, dalam keghairahan menilai karya muda sebagai “belum cukup matang”, panel tidak pula disoal tentang kematangan penilaian mereka sendiri. Kerana yang benar-benar matang bukanlah yang tua, dan yang benar-benar lemah tidak sewajibnya yang muda. Sastera tidak tunduk pada angka usia. Ia tidak akur pada uban atau kekurangan garis-garis kedut di wajah. Sastera tunduk pada daya cipta, kejujuran rasa dan kecerdasan makna, tidak kiralah berapakah umur penulisnya pun.

Di mana logiknya mengatakan karya yang dihasilkan oleh penyair muda pastilah belum matang? Kalau begitu, apakah yang akan kita kata terhadap Rimbaud yang menghasilkan A Season in Hell ketika belum mencecah 21 tahun? Atau Mary Shelley yang menulis Frankenstein pada usia 18? 

Malah, di rantau ini, kita pernah menatap sajak-sajak Usman Awang dan Latiff Mohidin ketika mereka masih dalam dekad dua puluhan yang tidak kurang hebat dari segi daya falsafah dan kepekaan sosialnya. Maka ‘matang’ itu bukan faktor usia, tetapi kejernihan pengamatan dan kecekapan menyaring makna hidup dalam bentuk bahasa.

Begitu juga di pihak juri. Tidak semua yang bergelar doktor adalah pembaca yang cerdas atau penilai yang mendalam. Keilmuan tidak sama dengan kebijaksanaan. Ada doktor yang pakar dalam bidang linguistik tetapi beku dalam memahami metafora. Ada pula pengkritik tanpa gelar tinggi, tetapi tajam dalam menyoal, menyaring, dan memaknai. 

Syarat utama menjadi juri bukanlah ijazah, tetapi keupayaan membaca sastera dengan mata akal dan rasa yang cukup terasah. Mereka yang benar-benar menguliti dunia sastera akan tahu: keadilan dalam menilai puisi memerlukan kesediaan meruntuhkan ego, bukan menegakkan autoriti.

Kalaupun terlalu rahsia untuk kita menuntut transkrip penuh perdebatan panel penilai, izinkan kita sekurang-kurangnya bertanya: dalam kalangan barisan juri itu, berapa ramai yang benar-benar menulis kritikan berkualiti terhadap karya-karya sastera kontemporari? 

Siapa antara mereka yang giat menulis ulasan, esei kupasan atau wacana penilaian yang menandakan arah tuju kesusasteraan tanah air? Atau mereka sekadar duduk dalam takhta juri berdasarkan permainan politik dalaman sastera, mengukuhkan nama masing-masing melalui perlantikan, bukan melalui pemikiran?

Mantera abadi

Apakah mereka benar-benar punya gagasan penilaian yang boleh membawa sastera kita melangkah lebih jauh atau sekadar mengulang kriteria lapuk yang menjadikan ‘yang muda belum matang’ dan ‘yang tua lebih wajar ditatang’ sebagai mantera abadi? Jika ukuran kita masih kabur dan kriteria kita tidak pernah dibentangkan, maka seluruh proses ini lebih menyerupai pemilihan kasta, bukan penilaian karya.

Yang paling memualkan ialah apabila pemenang sendiri terpaksa bersuara bagi mempertahankan ketelusan keputusan. Ada pemenang sampai terpaksa mengingatkan bahawa kali terakhir mereka menang ialah puluhan tahun lalu, hanya untuk membuktikan bahawa juri menilai karya dan bukan nama. Bukankah itu tugas juri untuk menjelaskan? 

Di manakah suara juri dalam mempertahankan integriti sistem yang mereka wakili? Jika beban membela keputusan terpaksa dipikul pemenang, maka jelas berlaku kegagalan komunikasi dan krisis kepercayaan. Hasil akhirnya ialah sebuah pertandingan yang hasilnya tidak diraikan kerana keampuhan karya, tetapi dipersoal kerana kebingungan sistem.

Maka tidak hairan jika masyarakat membaca kemenangan ini dengan rasa ragu. Apa yang sampai ke masyarakat bukanlah keindahan puisi, tetapi kejanggalan proses. Jika kemenangan perlu diiringi dengan penjelasan berunsur defensif daripada pemenang sendiri, maka lebih elok hadiah itu dikunci sahaja dalam peti besi sejarah.

Akhirnya, penyajak yang dikatakan muda akan terus menulis. Bukan kerana mahu menang hadiah. Tetapi kerana dunia perlu terus dibaca, ditulis dan dibantah meskipun panel tidak mendengarnya. Mungkin, dalam diam, kekalahan hari ini adalah kemenangan senyap bagi puisi yang tidak mahu tunduk kepada kejumudan yang dijadikan mahkota palsu.


IRFAN FIKRI adalah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link