Malaysia Oversight

Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Seremban meninggal dunia

By Utusan in January 5, 2026 – Reading time 2 minute
Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Seremban meninggal dunia


SEREMBAN: Naib Ketua Wanita Bahagian Seremban, Wan Salwati Abdullah, 52, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), di sini, hari ini ketika menerima rawatan akibat serangan angin ahmar.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 3.56 petang tadi di sisi ahli keluarga terdekat termasuk lima orang anak perempuannya.

Adiknya, Wan Mohd. Husni Abdullah berkata, kakaknya tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan sebelum ini.

“Namun pada Jumaat lalu, ketika itu, kakak berada di rumah salah seorang anaknya di Port Dickson sebelum badannya menggigil dan berpeluh secara tiba-tiba.

“Kami segera membawanya ke HTJS lalu doktor mengesahkan kakak diserang angin ahmar sebelum ditidurkan sehingga disahkan meninggal dunia pada petang ini,” katanya ketika dihubungi.

Wan Mohd. Husni berkata, jenazah kakaknya akan dibawa ke Masjid Dato’ Klana Petra Sendeng, Ampangan di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Makam Haji Mohd. Said, di sini, selepas solat Isyak.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun merakamkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarhamah.

“Saya bagi pihak Negeri Sembilan serta seluruh barisan kepimpinan negeri merakamkan ucapan takziah atas pemergian Wan Salwati Abdullah yang telah kembali ke rahmatullah,” katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyifkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada parti itu.

“Kehilangan ini merupakan satu kehilangan besar kerana Allahyarham bukan sahaja seorang pemimpin yang berdedikasi malah pejuang setia yang banyak menabur bakti demi agama, bangsa dan tanah air, khususnya di Negeri Sembilan,” katanya.

Wan Salwati pernah menggalas jawatan sebagai Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan dan Naib Presiden Majlis Belia Malaysia serta pernah menjadi Exco Pergerakan Puteri .

Beliau juga pernah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 namun tewas kepada Aminuddin.-UTUSAN.





Source link