Langkah kerajaan untuk membentang Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri merupakan satu langkah reformasi yang penting dalam memperkukuhkan amalan demokrasi, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
“Saya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri bahawa Kerajaan Perpaduan akan membentangkan rang undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh pada sesi Parlimen tahun ini.
“RUU berkaitan merupakan salah satu langkah reformasi institusi yang amat penting dalam memperkukuh amalan demokrasi dan memastikan tadbir urus negara berlangsung dengan lebih telus serta berintegriti.
“Lebih penting lagi adalah langkah berkaitan menegaskan komitmen Kerajaan Madani dalam usaha menepati segala janji untuk terus memperkukuh agenda reformasi demi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati oleh semua,” katanya dalam kenyataan.
Chow berkata pembaharuan ini juga adalah selari dengan langkah Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang merupakan negeri pertama melaksanakan had tempoh lantikan Ketua Menteri kepada dua penggal.
“Saya percaya langkah ini merupakan aspirasi seluruh rakyat yang mahukan sistem pentadbiran negara berjalan dengan lebih telus, akauntabiliti dan bebas daripada penyalahgunaan kuasa, di samping dapat menggalakkan proses peralihan kuasa yang sihat serta berteraskan prinsip semak dan imbang,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa Amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri berkata RUU itu antara empat perundangan baharu yang akan dibentangkan sebagai hala tuju Parlimen tahun ini.
Pada Mac tahun lepas, Anwar semasa mempengerusikan mesyuarat Kabinet mengarahkan agar cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun dikaji secara teliti dan mendalam.
Selain itu, tiga lagi RUU yang akan dibentangkan pada tahun ini ialah pemisahan bidang kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, penubuhan Ombudsman dan Kebebasan Maklumat (FOI).
Perkukuh sistem semak dan imbang
Sementara itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo, menyambut baik pengumuman Anwar bahawa RUU untuk memisahkan Pejabat Peguam Negara (AGC) daripada pejabat pendakwa raya akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat yang akan datang.
Pengerusi DAP kebangsaan itu berkata, RUU ini, bersama-sama RUU untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri akan membantu memperkukuh sistem semak dan imbang.

“Reformasi institusi sebegini amat penting dalam memperkukuh prinsip tadbir urus yang baik, memastikan pelaksanaan semak dan imbang yang berkesan, serta mengukuhkan lagi komitmen kerajaan terhadap ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan Perlembagaan demi kepentingan negara dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dia turut menyambut baik arahan Anwar untuk mempercepatkan pelaksanaan sistem digital bagi menyediakan perkhidmatan kerajaan.
Gobind berkata, salah satu keutamaan kementeriannya ialah RUUKebebasan Maklumat (FOI), yang merupakan antara reformasi undang-undang yang diumumkan Anwar hari ini.
“RUU ini akan menjadi pemangkin kepada ketelusan yang lebih tinggi dalam perkhidmatan awam dengan memastikan hak individu untuk mengakses maklumat di bawah bidang kuasa kerajaan dijamin dan dilindungi oleh undang-undang,” tambahnya.






