Kerajaan memperuntukkan RM800 juta bagi menyediakan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang disalurkan secara sekali beri berjumlah RM150 kepada semua pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan Enam pada tahun ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, berkata ibu bapa perlu hadir ke sekolah untuk menerima bantuan itu.
“Ibu bapa harus pergi ke sekolah sebab ibu bapa perlu pastikan wang itu dibelanja untuk anaknya, dan mereka kena dengar daripada guru masalah anak.
“Hendak wakilkan (kepada anak) tidak boleh sebab kita syaratkan dia (ibu bapa) harus ke sekolah kerana perbelanjaan ini tinggi… RM800 juta,” katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan memaklumkan BAP akan mula diagih seawal 11 Jan ini.






