Microsoft Mematikan Ciri Mengaktifkan Windows Menggunakan Panggilan Telefon
Nazrin
Sejak Microsoft memperkenalkan pelbagai produk-produk perisian sejak awal 1990an, mereka telah memperlihatkan pelbagai cara untuk mengaktifkan produk-produk tersebut, seperti penggunaan kod pengaktifan yang dicetak pada kertas bersama-sama cakera liut dan cakera padat produk, sehinggalah pengaktifan yang memerlukan sambungan internet untuk disambungkan terus ke mesin pelayan Microsoft.
Ada satu lagi cara pengaktifan kod produk yang disangka sudah tidak digunakan lagi, tetapi sehingga baru-baru ini masih lagi digunakan oleh pengguna perisian Microsoft untuk mereka yang tidak mahu menyambung komputer mereka ke rangkaian internet, iaitu melalui panggilan telefon.

Ini juga adalah kerana mesin pelayan untuk pengesahan kod Microsoft Windows 7 sudahpun ditutup, dan panggilan telefon merupakan satu-satunya cara untuk menggunakan kod pengaktifan tersebut.
Cara pengaktifan ini secara lazimnya digunakan untuk mengaktifkan kod penggunaan sistem operasi Windows 7, kerana bermula Windows 10 keatas, pengaktifan hanya boleh dilakukan melalui log masuk akaun Windows.
Microsoft baru-baru ini dilaporkan telah menutup cara pengaktifan tersebut baru-baru ini, sekaligus memaksa semua pengguna komputer yang mahu menggunakan sistem operasi Windows untuk berhijrah ke sistem operasi Windows 11 yang terbaru.
Perkara ini diketahui melalui Ben Kleinberg yang telah merakam proses percubaan menggunakan proses panggilan telefon untuk mengesahkan kod pengaktifan sistem operasi dan Microsoft Office beliau. Setelah membuat panggilan ini, beliau menerima panggilan suara daripada pihak Microsoft yang mengatakan bahawa pengaktifan produk melalui panggilan telefon tidak lagi digunakan.
Beliau juga telah menerima pautan untuk ke laman Microsoft untuk memasukkan kod pengaktifan produk beliau, tetapi untuk menggunakannya, pengguna akan perlu melog masuk menggunakan akaun MIcrosoft mereka.






