Clicks Communicator Mengembalikan Semula Papan Kekunci Fizikal
Effi Saharudin
Era Blackberry berakhir sejurus selepas iPhone dengan skrin sesentuh dipasarkan pada tahun 2007. Terdapat beberapa usaha daripada Blackberry, dan HTC untuk terus menawarkan peranti dengan papan kekunci fizikal tetapi semuanya berakhir dengan kegagalan. Terkini Clicks, syarikat yang menjual aksesori papan kekunci fizikal untuk telefon pintar moden telah memperlihatkan Clicks Communicator dengan rekaan seakan Blackberry klasik.

Ia dipasarkan sebagai telefon pintar kedua khusus untuk melakukan kerja seperti menulis emel, menulis dokumen dan membalas mesej panjang. Ia mempunyai papan kekunci fizikal ala Blackberry yang dipadankan dengan skrin sesentuh 4.03″ OLED, cip MediaTek, storan 256GB, bateri 4000 mAh, kamera utama 50MP OIS, dan kamera swafoto 24MP.

Peranti menggunakan Android 16 dengan pelancar Niagara Launcher. Terdapat bicu audio 3.5mm dan juga sokongan kad microSD sehingga 2TB. Ciri unik communicator ialah terdapat lampu LED pada butang kuasa di sisi kanan. Pengguna boleh menetapkan warna lampu berbeza untuk aplikasi atau pengguna tertentu. Panel belakang boleh diganti dengan pelbagai pilihan warna ditawarkan oleh Clicks.
Selain itu terdapat juga sokongan rangkaian 5G global, pengecasan menerusi USB-C, NFC dan WiFi 6. Pratempahan telah dibuka dengan ia boleh dibeli pada harga $399 (~RM 1621) sebuah.





