Malaysia Oversight

Amy lapor polis, nafi serang Shila Amzah

By MkiniBM in July 16, 2025 – Reading time 1 minute
Amy lapor polis, nafi serang Shila Amzah


Vokalis kumpulan Search, Amy membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan bahawa dia menyerang penyanyi Shila Amzah secara lisan ketika sesi latihan konsert di Stadium Merdeka awal bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan menerima laporan daripada Amy, atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, dan isterinya, Norhazniza Hassan.

“Ya, (kami terima laporan itu) semalam petang. Tapi ia lebih kepada penafian dan ‘covering report’,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Menurut Mohd Iqbal, laporan itu telah dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, Norhazniza dilaporkan memuat naik gambarnya bersama Amy dan tiga individu lain di luar balai polis Shah Alam.

Sebelum ini, pada 10 Julai lalu, penyanyi Shila Amzah membuat laporan polis mendakwa dirinya diserang oleh seorang penyanyi legenda.

Hantaran Shila di Instagram mencetuskan spekulasi mengenai identiti individu terbabit, sehingga menyebabkan penyanyi rock terkenal, Awie, dituduh terlibat.

Awie kemudian menggesa Amy tampil memberi penjelasan.

Shila turut mengesahkan individu yang dimaksudkan adalah Amy iaitu bapa kepada pelakon pelakon Nabila Huda.

Menurut laporan mStar, pihak polis telah mengambil keterangan daripada kedua-dua pihak – Shila dan Amy – sebagai sebahagian daripada siasatan.

Shila turut menafikan dakwaan bahawa dia mencampuri urusan rumah tangga Amy, yang didakwa menjadi punca kemarahan penyanyi lagu Isabella itu.

Kontroversi ini dipercayai berpunca daripada hantaran Shila di platform X (dulu Twitter), yang menunjukkan sokongannya terhadap Nabila Huda, yang sebelum ini secara terbuka mengkritik ibu tirinya.



Source link