Malaysia Oversight

Teka-teki 3 syiling M’sia di tugu peringatan perisik CIA

By MkiniBM in July 16, 2025 – Reading time 2 minute
Teka-teki 3 syiling M'sia di tugu peringatan perisik CIA


Tiga keping syiling Malaysia menjadi perhatian susulan hantaran media sosial oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat, yang menunjukkan duit syiling itu ditemui di tapak tugu peringatan tokoh perisik Nathan Hale.

Menerusi ciapan di platform X (dahulu Twitter) semalam, akaun rasmi CIA memuat naik gambar bertajuk “Artifact of the Week: Coins Left at the Statue of Nathan Hale”. Gambar itu menunjukkan tiga keping syiling Malaysia — 20 sen, 10 sen, dan 5 sen — bertarikh sekitar 2017 hingga 2018.

Menariknya, setiap syiling itu kelihatan mempunyai contengan simbol yang tidak dikenalpasti, termasuk bentuk menyerupai orang lidi dan tapak kaki haiwan.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan siapa yang meninggalkan syiling Malaysia tersebut dan apa makna sebenar simbol-simbol pada permukaannya.

Malaysia dipantau?

Namun, kehadiran syiling itu telah mencetuskan pelbagai spekulasi dan tanda tanya dalam kalangan pengguna media sosial tempatan, termasuk persoalan CIA mungkin mahu memberitahu bahawa Malaysia dalam pengawasan agensi perisikan AS itu.

Menurut CIA, tugu peringatan Nathan Hale terletak di hadapan bangunan ibu pejabat asal agensi itu. Hale, yang dianggap sebagai “pegawai perisikan pertama” Amerika Syarikat, dihormati kerana keberaniannya menghadapi hukuman mati pada usia 21 tahun ketika Perang Revolusi AS.

Berdasarkan tradisi dalaman CIA, pegawai-pegawai perisikan akan meninggalkan duit syiling di tapak patung tersebut sebelum mereka dihantar bertugas ke luar negara sebagai simbol tuah dan perlindungan.

Syiling yang ditinggalkan biasanya menampilkan wajah bekas presiden AS George Washington, atau kadangkala mata wang asing dengan tanda peribadi — seperti yang dilihat dalam kes syiling Malaysia ini.

“Biasanya pegawai akan tinggalkan syiling 76 sen untuk memperingati tahun 1776, tahun Hale dihukum mati,” menurut kenyataan CIA.

Pihak CIA juga memaklumkan semua duit syiling yang dikumpul secara berkala akan didermakan kepada dua badan — CIA Officers Memorial Foundation dan Third Option Foundation — bagi membantu pegawai yang tercedera serta keluarga pegawai yang terkorban.



Source link