Setiap kali jam berdetik menuju angka 12 malam pada 31 Disember, pemandangan yang sama akan berulang.Pentas hiburan dibanjiri muzik keras, pergaulan bebas, pesta tanpa batas dan budaya ‘lepas geram’ yang perlahan-lahan menormalisasikan hiburan kosong sebagai simbol menyambut tahun baharu.Ia menjadi skrip tahunan yang diterima ramai, walaupun hakikatnya semakin menjauhkan masyarakat daripada nilai dan makna.
Bagaimanapun, tahun ini, atas dasar inisiatif, stesen televisyen Al-Hijrah memilih untuk menukar skrip itu.
Buat pertama kali, stesen televisyen Islamik itu tampil dengan pendekatan berbeza menerusi Konsert Malam Hijrah Bergema yang berteraskan nilai ketuhanan, kemanusiaan dan budaya tempatan.
Ia sekali gus mencabar persepsi bahawa hiburan mesti melalaikan untuk dianggap menghiburkan.
Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TV Al-Hijrah, Namanzee Harris yang berpendapat penganjuran konsert tersebut bukan sekadar sebuah acara hiburan, sebaliknya merupakan satu usaha memperkenalkan hiburan sebagai platform dakwah kontemporari yang lebih dekat dengan jiwa masyarakat hari ini.
“Konsert Malam Hijrah Bergema bukan sekadar sebuah acara hiburan. Ia adalah satu platform dakwah kontemporari yang relevan dengan keperluan masyarakat masa kini.
“Kita mahu membuktikan bahawa hiburan masih boleh mendidik, memberi nasihat dan menanam nilai murni tanpa bersifat menghakimi,” katanya.
Menurut Namanzee, idea penganjuran konsert tersebut tercetus daripada kesedaran bahawa golongan muda hari ini tidak menolak hiburan, sebaliknya sedang mencari hiburan yang lebih bermakna dan berjiwa.
“Lagu-lagu pop sebenarnya banyak mengandungi lirik ketuhanan dan kemanusiaan. Apabila digabungkan dengan elemen nasyid, nasihat dan budaya tempatan, ia boleh menjadi satu bentuk hiburan yang menyeluruh dan membina,” jelasnya.
Penganjuran yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu mencatatkan kehadiran luar jangkaan apabila bukan sahaja menarik peminat nasyid tegar, malah golongan muda dari generasi 20-an dan 30-an turut memenuhi dewan.
Namanzee berkata, keputusan memindahkan lokasi daripada Dataran Putrajaya ke PICC juga dibuat bagi memastikan keselamatan, kawalan suasana dan keselesaan pengunjung, memandangkan faktor cuaca hujan lebat serta keperluan mengawal aliran masuk pengunjung.
“Dalam ruang tertutup, tenaga, kreativiti dan keselamatan dapat dikawal dengan lebih baik. Ia membantu kami memastikan pengisian program sampai kepada penonton dalam suasana yang kondusif,” katanya.
Namanzee turut memaklumkan bahawa konsert itu dianjurkan secara percuma kepada orang ramai, meskipun kos penerbitannya tinggi, sebagai usaha menjadikan hiburan berteraskan nilai dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat.
“Kami mahu masyarakat datang kerana isi dan maknanya, bukan kerana glamor atau sensasi,” ujarnya.

Alternatif kepada hiburan melalaikan
Dalam landskap hiburan yang sering dikaitkan dengan budaya hedonisme dan normalisasi perlakuan tidak bermoral, inisiatif TV Al-Hijrah ini dilihat sebagai satu inisiatif mengubah persepsi terhadap arus perdana.
Ini kerana Konsert Malam Hijrah Bergema bukan sahaja menawarkan alternatif kepada sambutan Ambang Tahun Baharu, malah membuka ruang baharu kepada masyarakat untuk menyambut permulaan tahun dengan muhasabah, ketenangan jiwa dan hiburan yang membina.
Namanzee juga percaya bahawa pengalaman lebih 17 tahun dalam dunia penerbitan hiburan mengukuhkan keyakinannya bahawa hiburan Nusantara dan Malaysia mampu terus relevan tanpa perlu mengorbankan nilai.
“Jika hiburan tidak dikawal dengan kesedaran dan kerangka nilai yang betul, ia akan mudah terikut dengan arus luar. Kita mahu mewujudkan satu identiti hiburan yang mencerminkan budaya, adab dan nilai masyarakat kita sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, penganjuran Konsert Malam Hijrah Bergema kelmarin telah menyaksikan penampilan barisan artis jemputan seperti Rabbani, Raihan, UNIC, Lah Ahmad, Hijjaz, Mawi, Sufian Suhaimi, Mawi, Munsyid Muda (Simfoni, Rabithah, Fine, Aeydan, Onepath, Andika), di samping menampilkan penyanyi legenda Datuk Hattan, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Nash yang masing-masing menyampaikan karya berunsur dakwah dan kerohanian.

Antara lagu-lagu yang didendangkan ialah Pergi Tak Kembali, Intifada, Kasih Kekasih, Nurkasih, Pada Syurga Di Wajahmu, Mahligai Syahdu, Ghazal Untuk Rabiah, Kian dan banyak lagi.
Setiap persembahan telah disusun rapi bagi membawa hadirin menyelami makna hijrah melalui lirik-lirik yang sarat mesej keinsafan, harapan dan ketundukan kepada Ilahi.
Kemuncak konsert menyaksikan para penonton bangkit bersama-sama mengalunkan selawat dan lagu-lagu bertemakan penghijrahan diri, mencipta detik simbolik menyambut tahun baharu dengan doa, muhasabah dan azam untuk menjadi insan yang lebih baik. Respon hangat penonton sepanjang konsert jelas memperlihatkan keberkesanan seni sebagai bahasa dakwah yang mampu menyentuh emosi serta menyatukan masyarakat.






