Malaysia Oversight

Kemelut PN tak jejas misi rampas Pahang

By MkiniBM in December 31, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Kemelut dalaman Perikatan Nasional (PN) ketika ini tidak menjejaskan fokus utama Pahang dalam misi untuk menerajui negeri ini dalam PRU akan datang.

Dewan Pemuda Pahang juga menegaskan pendekatan bekerja dan bergerak bersama rakyat tetap diteruskan seperti biasa.

Ketuanya, Zulfadhli Zakariah berkata, Pemuda Pahang juga kekal berdiri teguh dengan rakan komponen dalam PN negeri.

“Hubungan antara komponen PN Pahang adalah utuh, bersatu dan berwibawa dengan berlandaskan muafakat politik yang matang.

“Hala tuju kita juga jelas iaitu untuk ‘Teraju Pahang’ dan ini adalah kekuatan utama gabungan kami di peringkat negeri dalam membina keyakinan rakyat.

“Tambahan pula, rakyat Pahang memerlukan sebuah alternatif kepimpinan negeri yang stabil, berintegriti dan berkeupayaan,” katanya menerusi kenyataan di Kuantan, hari ini.

ccb60b1aa03a035e15df799ae29b1df8
Zulfadhli Zakariah

Mengulas mengenai situasi semasa PN, dia menjelaskan, Pemuda PAS Pahang berpegang kepada prinsip, dasar dan ketetapan pimpinan Pusat dalam berdepan dinamika politik semasa.

Sambil menekankan kepada disiplin terhadap keputusan dibuat, Zulfadhli menegaskan, perkara itu adalah asas penting dalam menjaga kestabilan dan kewibawaan gabungan PN.

“Kita perlu memberi keyakinan kepada rakyat bahawa PN adalah satu pasukan yang tersusun dan bertanggungjawab.

“Peranan Pemuda PAS sebagai ejen perubahan akan diperhebatkan melalui pendekatan turun padang mendekati anak muda, belia profesional dan warga peneroka Felda”, jelasnya.

Dia turut menambah, Pemuda PAS Pahang akan meneruskan komitmen mereka dalam menggerakkan agenda ‘penyatuan ummah’ sebagai teras kesatuan dan Melayu demi mewujudkan kestabilan di negeri ini.

“Kami yakin dengan kesatuan yang kukuh, kepimpinan berwibawa serta pegangan prinsip yang jelas – selaras dengan pimpinan pusat – misi ‘Teraju Pahang’ mampu direalisasikan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya II PAS Pahang, Hassanuddin berkata, keputusan daripada parti itu tidak menyertai Perlis membuktikan sikap tegas PAS dalam menjaga integriti dan prinsip perjuangan.

Menurutnya, PAS sanggup berkorban kedudukan dan jawatan dalam pentadbiran demi mempertahankan kesatuan dan keutuhan PN.

“Sikap tidak tamak kuasa ini amat jarang dalam politik negara kita dan perlu dipuji sebagai contoh kepimpinan berintegriti,” katanya melalui kenyataan di Facebook rasmi PAS Pahang.



Source link