
Pada minggu lepas, mahkamah Korea Selatan telah mendakwa sekumpulan bekas jurutera Samsung kerana mendedahkan rahsia bagaimana untuk menghasilkan komponen memori DRAM kepada sebuah syarikat teknologi China, ChangXin Memory Technologies (CXMT), yang dijangka akan menyebabkan pengurangan keuntungan oleh syarikat teknologi dan semikonduktor syarikat tersebut.
Terkini, beberapa butiran menarik mengenai kes tersebut telah dilaporkan oleh pihak media Korea Selatan. Tirisan maklumat sulit kepada CXMT ini dikatakan bukanlah sesuatu yang baru, kerana CXMT dilaporkan telah mula menghasilkan cip memori DRAM 10nm sejak 2024, dua tahun lebih awal daripada apa yang dijangka. Siasatan Samsung mendapati bahawa jurutera mereka sendiri yang telah memberi rahsia syarikat tersebut kepada mereka.
Pada mulanya, siasatan mereka mendapati bahawa tiada ketirisan ataupun akses yang tidak sepatutnya berlaku pada mesin-mesin pelayan mereka, tetapi ia telah diberitahu bahawa jurutera tersebut telah menulis semua proses penghasilan memori tersebut secara fizikal kedalam sejumlah nota fizikal sejak lima tahun yang lalu.
Nota-nota ini dipercayai merangkumi lebih daripada 600 langkah pembuatan individu, termasuk parameter terperinci seperti nisbah aliran gas, tekanan reaktor dan tetapan fotoresis yang digunakan pada peringkat litografi dan pemendapan kritikal.
Pendedahan maklumat sulit ini dijangka telah menyebabkan kerugian beberapa trilion Won bukan sahaja untuk Samsung, tetapi untuk Korea Selatan juga. Korea Selatan dan China dilihat bersaing dalam melihat siapakah yang boleh menghasilkan komponen-komponen penting seperti memori DRAM berteknologi tinggi dan sebagainya.
Perkara ini dilihat sebagai satu isu yang sangat kritikal, khususnya sekarang apabila semua kerajaan besar dan syarikat-syarikat pembekal cip semikonduktor sedang bersaing untuk melihat siapakah yang boleh mengaut keuntungan terbesar dalam perlumbaan membangunkan teknologi AI.






