Malaysia Oversight

Pakatan baharu Nepal janji tangani tuntutan belia

By Utusan in December 29, 2025 – Reading time 2 minute
Pakatan baharu Nepal janji tangani tuntutan belia


KATHMANDU: Dua pemimpin politik paling popular di Nepal bergabung untuk membentuk pakatan baharu menjelang pilihan raya 2026, langkah yang berkemungkinan akan menggugat pengaruh parti lama.

Pengacara televisyen yang juga Pengerusi Parti Rastriya Swatantra (RSP), Rabi Lamichhane, dan Datuk Bandar Kathmandu, Balendra Shah berikrar untuk menangani tuntutan generasi muda susulan protes antirasuah berdarah yang menggulingkan pada September lalu.

Naib Pengerusi RSP, Swarnim Wagle, menyifatkan pakatan itu sebagai ‘gabungan berani dan harapan’ buat Nepal ketika negara itu bersedia menghadapi pilihan raya pada 5 Mac.

“Pemimpin generasi baharu bersatu dengan mengutamakan negara berbanding kepentingan diri, selaras dengan aspirasi belia Nepal,” katanya kepada AFP.

Sekurang-kurangnya 77 terbunuh semasa pemberontakan yang dipimpin generasi muda pada 8 hingga 9 September, susulan kemarahan terhadap larangan sementara ke atas media sosial.

Protes itu turut didorong rasa tidak puas hati rakyat selepas bertahun-tahun kemerosotan ekonomi serta dakwaan rasuah politik yang berakar umbi.

Menurut perjanjian pakatan itu, Lamichhane akan kekal sebagai pengerusi parti, manakala Shah, 35, bekas penyanyi rap yang kini Datuk Bandar, dicalonkan sebagai perdana menteri.

“Kesepakatan tidak seharusnya mengikut kehendak pemimpin, sebaliknya apa yang diperlukan oleh negara,” kata Lamichhane dalam satu kenyataan di media sosial selepas perjanjian itu dimeterai.

Lamichhane, yang baru-baru ini dibebaskan dengan jaminan berhubung kes penipuan koperasi dan jenayah terancang, merupakan pengacara televisyen popular di republik Himalaya itu.

Beliau menubuhkan RSP pada 2022 dengan memanfaatkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan politik Nepal, sebelum dilantik sebagai timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri.- AFP





Source link