Di China, Chatbot AI Perlu Mengingatkan Pengguna Ia Bukan Manusia Setiap 2 Jam
Effi Saharudin
Landskap dunia kecerdasan buatan (AI) dunia sudah banyak berubah sejak revolusi chatbot dilakukan oleh OpenAI tiga tahun lalu. Kini hampir semua perkhidmatan ingin mempunyai ciri AI secara terbina dan bertrilion Dollar wang dibelanjakan untuk membina pusat data dan mengejar impian membina kecerdasan am buatan (AI) pertama. Hujung minggu lalu, Suruhanjaya Hal Ehwal Ruang Siber Pusat China mengeluarkan draf peraturan yang perlu dipatuhi perkhidmatan chatbot AI.

Antara peraturan yang bakal diperkenalkan ialah chatbot perlu memberitahu pengguna ia bukan manusia. Peringatan ini perlu diberikan setiap dua jam supaya pengguna tidak merasakan mereka bercakap dengan manusia. Ini ialah isu yang berlaku di negara Barat dengan pengguna percaya mereka mempunyai hubungan percintaan dengan chatbot.
Pengendali turut perlu memberikan pengguna pilihan memadam akaun serta tidak membenarkan teks perbualan digunakan untuk melatih model AI. Penyebaran kandungan berunsur lucah, ganas dan jenayah turut diharamkan. Terdapat juga klausa chabot tidak boleh menggalakkan pengguna mencederakan serta membunuh diri.
Kesemua peraturan ini masih sekadar draf cadangan dengan Suruhanjaya Hal Ehwal Ruang Siber Pusat China akan mengumpul maklum balas orang ramai sehingga 25 Januari 2026.






