GLOBAL | Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba hari ini menyifatkan keputusan Presiden Donald Trump mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas Jepun sebagai “amat mendukacitakan,” namun menegaskan rundingan dua hala akan diteruskan ke arah mencapai perjanjian yang saling menguntungkan, lapor agensi berita Kyodo.
Walaupun langkah itu telah dimaklumkan kepada Tokyo menerusi sepucuk surat rasmi, Ishiba berkata, kadar tarif tersebut adalah lebih rendah daripada ancaman awal Trump.
Justeru, katanya, ia membuka ruang kepada rundingan dua hala yang lebih konstruktif.
Bercakap dalam mesyuarat Pasukan Petugas Tarif Jepun, Ishiba menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi mempertahankan kepentingan negara menerusi rundingan akan datang.
Dia juga berjanji untuk mengambil segala langkah perlu bagi mengurangkan kesan tarif terhadap ekonomi Jepun yang bergantung kepada eksport.
“Kami akan terus berunding dengan AS bagi meneroka kemungkinan mencapai perjanjian yang saling menguntungkan sambil tetap mempertahankan kepentingan nasional kami,” katanya.
Rundingan dua hala mengenai tarif, termasuk sidang kemuncak secara bersemuka, setakat ini masih belum menunjukkan kemajuan ketara.
Trump menggunakan mekanisme tarif bagi menangani apa yang dilihatnya sebagai ketidakseimbangan perdagangan dan tarif 25 peratus terhadap kereta import dilihat amat memberi kesan kepada Jepun yang bergantung kepada syarikat seperti Toyota Motor Corp. dan Honda Motor Co.
“Malangnya, kita masih belum mencapai kata sepakat kerana wujud perbezaan antara kedua-dua pihak. Jepun tidak membuat sebarang konsesi mudah dan tetap bertegas mempertahankan apa yang perlu,” kata Ishiba.
Trump sebelum ini mengugut untuk mengenakan tarif sehingga 30 atau 35 peratus, menjelang berakhirnya penangguhan tiga bulan ke atas tarif balas pada Rabu ini.
Ishiba turut menggesa Washington memberi tumpuan kepada kerjasama pelaburan antara kedua-dua negara yang telah lama menjadi sekutu dan tidak menggunakan tarif sebagai alat untuk menyelesaikan defisit perdagangan.
– Bernama/Kyodo