NVIDIA Dilaporkan Menguji Kemampuan Faundri Intel 18A
Nazrin
Intel kini dilihat sedang mencari pelanggan untuk menggunakan faundri 18A mereka untuk membina cip semikonduktor berteknologi tinggi mereka, dan ia dilaporkan bahawa salah satu daripada pelanggan tersebut ialah NVIDIA.
NVIDIA telah menguji keupayaan faundri Intel untuk menghasilkan cip semikonduktor untuk syarikat pembina cip AI tersebut, tetapi menurut laporan Reuters, buat masa ini NVIDIA belum lagi memberi kata putus jika mereka akan menggunakan khidmat Intel untuk sebarang produk mereka.

Faundri 18A Intel kini digunakan untuk menghasilkan cip pemprosesan mereka sendiri, iaitu Intel Core Ultra 300 “Panther Lake” dan cip Intel Xeon “Clearwater Forest” yang juga akan dilancarkan pada tahun 2026.
Intel juga sedang mencari pelanggan baru untuk menggunakan faundri 18A, tetapi banyak jangkaan yang mengatakan bahawa pelanggan-pelanggan tersebut sedang menunggu penambahbaikan kepada proses tersebut, termasuklah 18A-P dan 18A-PT sebelum memeterai sebarang komitmen.
Seperti yang sedia maklum, NVIDIA kini menggunakan khidmat TSMC untuk menghasilkan semua cip pemprosesan grafik kelas pengguna dan pusat data AI mereka. Intel juga mempunyai kerjasama yang mana mereka akan menggabungkan cip pemprosesan mereka sendiri bersama GPU NVIDIA yang akan dilancarkan kelak, tetapi NVIDIA menjadi pelanggan Intel dan projek ini adalah dua perkara yang berbeza.






