Seorang pemimpin PAS menggesa Bersatu untuk mengambil tindakan tegas dan segera terhadap lima Adun Perlis daripada parti itu yang dituduh menandatangani akuan berkanun (SD) bagi menarik balik sokongan kepada menteri besar negeri itu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat Nurul Islam Mohamed Yusoff, berkata krisis politik Perlis bermula selepas laporan muncul bahawa lapan Adun tidak lagi menyokong Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli — yang terdiri daripada lima daripada Bersatu dan tiga daripada PAS.
Dia menyorot bahawa PAS telah memanggil tiga Adun parti mereka yang terlibat – Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong), dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji) – yang kemudiannya mengaku menandatangani SD tersebut.
“Dengan akuan tiga Adun itu sendiri, maka PAS telah ambil tindakan tatatertib, dan keahlian mereka telah tergugur serta merta mengikut Fasal 15A Perlembagaan PAS.
“Bila dah gugur keahlian, maka menurut Undang Undang Tubuh Negeri Perlis Perkara 50A(1)(a)(ii) kerusi Adun juga turut tergugur,” katanya.
Terdahulu hari ini, Berita Harian memetik Fakhrul Anwar sebagai mempertahankan tindakannya bersama dua orang yang lain.
“Tindakan kami ini, betul pada pertimbangan kami dan salah pada kelompok yng berbeza pandangan.
“Yang pasti tindakan MB (Mohd Shukri), memang telah melemahkan PAS di Perlis. Wajib ditukarkan,” katanya tanpa mengulas lanjut.
Sementara itu, Nurul Islam berkata Bersatu juga harus memanggil lima Adun mereka untuk menentukan sama ada mereka telah menandatangani SD tersebut atau tidak.
“Kalau tidak, Bersatu keluarkan kenyataan kadar segera mengatakan semua Adun Bersatu tidak pernah tandatangan SD dan kekal menyokong kepimpinan YAB Cikgu Shukri (menteri besar) dan akan terus pertahankan kerajaan negeri Perlis.
“Namun sekiranya benar lima orang Adun mereka telah tandatangan SD tersebut, seperti mana PAS telah bertindak, Bersatu juga perlu bertindak segera terhadap Adun mereka,” katanya.
Dia menegaskan bahawa Bersatu sebelum ini menggugurkan enam ahli parlimennya dan seorang Adun – yang antara lain menyaksikan Bersatu menulis surat kepada speaker DUN Kelantan untuk mengosongkan kerusi Nenggiri.
“Kenapa dalam kes Perlis ni tak boleh? Tindakan lima Adun Bersatu ini adalah secara jelas cubaan menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perlis.
“Ini satu bentuk sabotaj terhadap Menteri Besar PAS,” katanya.
Dia juga menambah bahawa sekiranya Bersatu gagal bertindak terhadap lima Adun berkenaan, ia akan memberikan isyarat yang salah.
“Bersatu akan dilihat merosakkan perpaduan dalam PN. Kelemahan Bersatu dalam mendisiplinkan Ahli dan wakil rakyatnya sudah tentu akan dilihat kelemahan kepimpinan Bersatu,” katanya.






