Polis menghadapi kesukaran untuk mengenal pasti suspek yang didakwa menculik Pamela Ling, kata Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Usuf Jan Mohamad hari ini.
Ini kerana kenderaan yang digunakan suspek untuk menculik Ling mempunyai nombor plat palsu, selain mempunyai nombor casis palsu.
Tambah Usuf, lakaran suspek juga tidak jelas, hanya mempunyai ketepatan 40 peratus.
“Setiap siasatan ada kesukarannya, namun kita (polis) cuba mendapatkan segala bukti di lokasi kejadian dan pelbagai petunjuk lain termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Kita siasat pelbagai sudut cuma kita tidak boleh nak kenal pasti kereta digunakan suspek kerana menggunakan nombor plat palsu dan nombor casis lain. Pemilik kereta sebenar pun kita sudah rakam dan bukan orangnya (suspek),” katanya seperti dilapor lapor Harian Metro.
Tambahnya, polis juga telah merekodkan keterangan daripada 48 individu.
Ling dalam perjalanan menemui penyiasat SPRM pada 2 Mei lalu apabila dia diculik sebelum sampai ke destinasinya.
Pemandu Grabnya pada hari itu mendakwa bahawa individu yang memakai pakaian seragam polis memberhentikan kenderaannya, memaksa Ling keluar dan didakwa memaksanya untuk menandakan perjalanan itu sebagai “selesai”.
Pada 8 Mei lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Isa berkata penyiasat telah memperoleh rakaman CCTV dari tempat kejadian, yang menunjukkan sekurang-kurangnya lapan individu terlibat, termasuk dua yang memakai jaket polis.
Dia berkata, suspek dipercayai menyamar sebagai anggota polis. Penyiasat juga menghasilkan fotofit seorang suspek, tetapi dia mengakui ia tidak berkualiti.
Polis juga telah menahan suami Ling untuk membantu siasatan. Bagaimanapun, dia dibebaskan keesokan harinya selepas polis gagal mendapatkan perintah reman.
Pada 16 Jun, peguam keluarga Ling, Sangeet Kaur Deo mengeluh mengenai kekurangan maklumat terkini daripada polis walaupun salah satu kenderaan yang dipercayai terlibat dalam penculikan itu ditemui ditinggalkan berhampiran sempadan Thailand.