Penemuan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bahawa kebakaran di Putra Heights yang berpunca daripada ketidakstabilan tanah tidak membebaskan Petronas daripada liabiliti atas kejadian itu, kata bekas menteri alam sekitar Yeo Bee Yin.
Walaupun bersetuju dengan penilaian JKKP bahawa tiada unsur sabotaj atau niat jenayah, Yeo – yang pernah bekerja sebagai jurutera lapangan dalam industri minyak dan gas – tidak bersetuju bahawa tiada kecuaian yang boleh dipertanggungjawabkan.
“Sebagai pemilik saluran paip itu, Petronas sepatutnya memastikan semua aset mereka diselenggara dalam keadaan baik.
“Keadaan bawah tanah tidak seharusnya menjadi alasan untuk kegagalan struktur berskala besar dengan magnitud ini.
“Oleh itu, Petronas perlu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kerugian akibat kebakaran Putra Heights,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.