Honor Magic8 Pro Dilengkapi Ciri ‘AI Voice Cloning Detection’ Bagi Mengelakkan Penipuan
Amy Maizuraa
Panggilan senyap kini dikenal pasti sebagai salah satu taktik penipuan yang menggunakan teknologi AI untuk meniru suara mangsa. Kaedah ini sering digunakan oleh scammer bagi tujuan meminta wang atau memintas sistem keselamatan.

Bagi menangani ancaman tersebut, Honor memperkenalkan ciri baharu AI Voice Cloning Detection (Pengesanan Pengklonan Suara) pada model Honor Magic8 Pro. Ciri ini berfungsi mengesan suara yang dijana AI sekali gus melindungi pengguna daripada cubaan penipuan menggunakan teknologi suara klon. Selain itu, fungsi keselamatan ini akan tersedia melalui kemas kini perisian yang dijadualkan pada penghujung Disember 2025.

AI Voice Cloning Detection ialah ciri keselamatan tambahan pada Honor Magic8 Pro yang melengkapi fungsi Pengesanan Deepfake AI sedia ada. Ciri ini akan menganalisis panggilan untuk mengesan suara yang diklon, dan pengguna akan menerima amaran sekiranya terdapat kejanggalan. Selain itu, teknologi Deepfake AI yang dipertingkatkan turut melindungi panggilan video kerana ia mampu mengimbas sehingga lapan individu serentak bagi mengesan wajah yang diubah secara digital.






