Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh meluahkan rasa kesal terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan bekas perdana menteri itu untuk menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah, dengan menyasarkan kerajaan Madani.
Akmal memberi bayangan wujud percaturan politik di sebalik keputusan mahkamah hari ini.
“Titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dikatakan tidak sah oleh mahkamah setelah disorokkan begitu lama.
“Walaupun pihak istana Pahang telah mengeluarkan kenyataan yang titah adendum itu dikeluarkan oleh sultan Pahang ketika menjadi (YDPA).

“Bila nak bentuk kerajaan atas titah YDPA menjadi alasan utama. Tetapi hari ini, titah pula dikatakan tidak sah.
“Rakyat mampu menilai,” kata Akmal dalam satu hantaran di Facebook.
Hakim Alice Loke mendapati perintah adendum tahanan rumah yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah tanpa dibincangkan bersama Lembaga Pengampunan pada ketika itu adalah tidak sah dan tidak mematuhi prosedur perlembagaan.
Titah berkenaan dilaporkan dikeluarkan secara unilateral oleh Sultan Abdullah pada saat-saat akhir baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong tahun lalu, selepas Lembaga Pengampunan terlebih dahulu mengurangkan hukuman penjara Najib dalam kes SRC International daripada 12 tahun kepada enam tahun.

Titah tambahan itu tidak diketahui umum sehinggalah Najib memfailkan semakan kehakiman pada April tahun lalu bagi memaksa kerajaan mengesahkan kewujudannya.
Pada peringkat awal, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menafikan pengetahuan mengenai titah tersebut.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim kemudiannya mendedahkan pada Januari bahawa titah tambahan itu dihantar terus kepada peguam negara ketika itu, Terrirudin Salleh, yang seterusnya menyerahkannya kepada pengganti Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, untuk pertimbangan lanjut.
Dalam ruangan komen membalas hantaran Akmal, beberapa pengguna media sosial dilihat mendesak Ketua Pemuda Umno itu serta pemimpin Umno lain supaya memberi tekanan kepada Presiden parti Ahmad Zahid Hamidi berhubung keputusan mahkamah hari ini, atau supaya Umno menarik sokongan daripada kerajaan Madani.

Zahid pada Ahad lalu berkata dia berharap Najib akan diberikan pengampunan penuh. Umno sebelum ini pada Januari merayu Sultan Ibrahim supaya mengurniakan pengampunan kepada bekas perdana menteri itu.
Zahid dilaporkan berminat untuk meneruskan kerjasama dengan Anwar dan PH pada pilihan raya umum akan datang, namun nasib Najib kini menjadi isu sensitif dalam kalangan pengkritiknya dalam parti.
‘Jangan harap kami senyap’
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Subang, Armand Azha Abu Hanifah memberi amaran kepada penyokong PH agar tidak melampau dalam meraikan keputusan mahkamah hari ini.
“Jangan buat macam perjuangan kami ini kosong. Kami tak pernah berhenti perjuangkan keadilan untuk Datuk Seri Najib Razak dan korang ingat senang-senang boleh hina, perlekeh dan sentuh sensitiviti kami hanya sebab hari ini korang rasa “menang”? Kepala hotak korang lar.
“Ingat satu benda. Kerjasama politik dalam kerajaan bukan lesen untuk biadab. Bukan tiket untuk pijak perasaan rakan sendiri.
“Dan bukan alasan untuk hilang adab dan kemanusiaan. Kalau tak mampu hormat pendirian orang lain, jangan harap kami senyap,” tegasnya pada satu kenyataan keras.
Secara berasingan, Ahli Parlimen Subang Wong Chen melalui malum balas ringkas di media sosial terhadap keputusan mahkamah itu, berkata: “Keadilan hidup.”
Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, turut menyifatkan keputusan itu sebagai “satu lagi sebab untuk diraikan pada penghujung tahun ini.”






