Malaysia Oversight

Lima tahanan mengaku salah lari dari lokap Mahkamah Pasir Mas

By MkiniBM in June 30, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Lima tahanan hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melarikan diri dari lokap Mahkamah Sesyen Pasir Mas, minggu lepas.

Mohd Safiuddin Hanif Mohd, 38, Muhamad Norshamzee Mohd Noresan Shargawi, 32, Mohamad Akmal Mohd Zahari, 31, Mohd Haris Zakaria, 37, dan Muhammad Alif Izham Hussim, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu pada 10.20 pagi 22 Jun lepas mengikut Seksyen 24 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seskyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh turut berdepan pertuduhan melakukan pecah rumah dengan niat mencuri telefon bimbit milik seorang wanita berusia 46 tahun pada 10.30 pagi di Kampung Kubang Bongor, Lemal, Pasir Mas pada tarikh sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Safiuddin Hanif juga didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas dengan cara memaut leher mangsa pada 10.20 pagi di lokap Mahkamah Sesyen Pasir Mas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Syazalia Che Suhaimi tidak menawarkan jaminan bagi kesemua tertuduh kerana Mohd Safiuddin Hanif, Muhamad Norshamzee, Mohd Haris dan Muhammad Alif Izham terlibat dengan kes dadah di Mahkamah Pasir Mas manakala Mohamad Akmal memiliki rekod lampau melarikan diri dari lokap.

Peguam Nur Amira Mat daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, yang mewakili kesemua tertuduh, pula memohon jaminan minimum atas alasan tertuduh ada yang hanya bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan RM50 sehari, pembantu kedai makan dengan pendapatan RM35 sehari dan mereka menanggung ibu bapa yang sakit dan anak yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan jaminan bagi kesemua tertuduh dan menetapkan 13 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Bernama



Source link