Realme C85 kini dijual secara terbuka selepas sebelum ini hanya ditawarkan melalui pakej telekomunikasi. Dua pilihan model disediakan iaitu realme C85 4G berharga RM749 dan C85 5G berharga RM1099. Walau bagaimanapun, model 5G boleh dimiliki pada harga promosi RM799 iaitu RM300 lebih murah apabila dibeli melalui kedai atau pengedar rasmi realme Malaysia untuk tempoh terhad.

Realme C85 4G dan 5G berkongsi sebahagian besar perkakasan dalaman yang sama. Kedua-dua peranti dilengkapi skrin LCD 6.8-inci HD+ dengan kadar segar semula 144Hz, bateri 7000mAh yang menyokong pengecasan pantas 45W, kamera utama 50MP dan kamera swafoto 8MP. Perbezaan hanya terletak pada cip pemprosesan iaitu model 5G menggunakan Mediatek Dimensity 6300 manakala model 4G dijana oleh Snapdragon 685.






