Data Muzik Spotify Sebesar 300TB Tersebar Ke Torrent
Effi Saharudin
Kumpulan aktivis cetak rompak Anna’s Archive mengumumkan mereka telah melakukan “sandaran” data 86 juta lagu dan 186 juta kod ISRC dengan data sebesar 300TB boleh dimuat turun menggunakan Torrent pada Sabtu lalu.

Anna’s Archive melakukan sandaran ini bagi tujuan memastikan ia kekal untuk pengguna di masa depan memandangkan tidak semua muzik di Spotify wujud dalam bentuk fizikal. Sekiranya Spotify menghentikan operasi esok, muzik yang tidak popular serta tidak mempunyai versi fizikal akan hilang selama-lamanya. Hanya 86 juta daripada 256 juta muzik yang ditawarkan oleh Spotify disandarkan oleh Anna’s Archive. Ini kerana 86 juta muzik mewakili 99.6% jumlah penstriman di Spotify.
Fail muzik yang disandarkan adalah dalam format OGG Opus dengan kadar bit 75kbit/s. Ia pada asalnya dalam format OGG Vorbis dengan kadar bit 160kbit/s tetapi dikecilkan bagi membolehkan pustaka muzik ini dimuat turun dalam saiz yang lebih kecil. Menurut Anna’s Archive, pagkalan data muzik dan metadata mereka ini ialah yang terbesar pernah dihasilkan dalam sejarah.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






