KUANTAN: Bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian warden Penjara Penor, Muhammad Hariri Kamarudin, 26, yang ditemukan maut selepas pulang melihat rumahnya dinaiki air di Taman Seri Inderapura di sini semalam, masih menunggu keputusan makmal.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, bedah siasat dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) namun punca kematian masih belum dapat dipastikan.
“Hasil bedah siasat, doktor belum dapat mengenal pasti punca sebenar kematian atau ‘Pending Investigation’. Sampel darah dan organ (tisu) akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa,” katanya dalam kenyataan di sini.
Ashari berkata, kemungkinan mangsa terkena renjatan elektrik ketika mengharung air banjir di ruang tamu rumahnya tidak dapat disahkan melalui bedah siasat.
Terdahulu, bapa mangsa menemukan anaknya dalam keadaan tertiarap di ruang tamu rumah selepas beliau tidak pulang ke pusat penempatan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Chong Hwa.
Sementara itu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Kesultanan Pahang, baginda berdua mendoakan roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta berharap keluarga mangsa tabah menghadapi kehilangan insan tersayang. – UTUSAN





