TikTok Akhirnya Dijual Dengan 80% Saham Dipegang Firma Amerika Syarikat
Effi Saharudin
Saga penjualan perniagaan TikTok di Amerika Syarikat akan berakhir pada 22 Januari depan selepas Bytedance bersetuju menjual majoriti pegangan saham syarikat kepada beberapa firma Amerika Syarikat. Menurut Reuters, Bytedance hanya akan memegang 19.9% saham sementara 50% lagi dipegang konsortium terdiri daripada Oracle, Silver Lake dan MGX. Baki 30.1% pula dipegang oleh sekutu pelabur sedia ada tertentu ByteDance.

Menerusi memo yang tertiris, algoritma TikTok di Amerika Syarikat akan dilatih semula menggunakan data pengguna tempatan bagi memastikan “ia tidak dimanipulasikan oleh pihak luar”. Proses latihan semula ini akan dipantau oleh Oracle. Walaupun keselamatan data pengguna Amerika dijadikan sebab TikTok perlu dijual, ramai melihat penggunaannya sebagai platform mendedahkan genosid di Palestin menjadi pemangkin arahan dikeluarkan pentadbiran Biden yang pro-Israel.
Presiden Biden mengeluarkan arahan eksekutif memaksa Bytedance menjual TikTok tahun lalu kerana didakwa mendatangkan risiko sekuriti kepada rakyat Amerika Syarikat. Perkhidmatan tergendala sehari dan aplikasi dibuang daripada App Store dan Google Play bagi memenuhi arahan ini. Kemudian TikTok dibenarkan kembali beroperasi oleh Presiden Trump dengan beliau memberikan beberapa lanjutan kepada tempoh akhir jualan sebanyak beberapa kali.
Sejak dari awal Oracle dipercayai akan menjadi antara pemilik baharu kerana hubungan rapat Larry Ellison dan Trumps serta TikTok menggunakan pelayar Oracle untuk menyimpan data milik rakyat Amerika Syarikat.






