PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menetapkan tujuh hala tuju baharu dalam tempoh dua tahun akan datang termasuk mengaktifkan penubuhan Majlis Perundingan Gig dan Tribunal Gig.
Menterinya, Datuk Seri R Ramanan berkata, tujuh hala tuju baharu itu adalah kesinambungan KESUMA dalam meneruskan agenda reformasi menyeluruh serta memperkasa ekosistem pekerjaan di negara ini.
Beliau berkata, Majlis Perundingan Gig dan Tribunal Gig adalah mekanisme tadbir urus dan penyelesaian pertikaian yang adil, cekap serta berfokus kepada realiti pekerjaan negara.
“Menjelang suku pertama tahun depan, pasukan interim akan ditubuhkan dan mereka ini akan meneliti segala aspek diperlukan bagi penubuhan majlis perundingan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri sesi taklimat hari pertama dan ‘Clock In’ sebagai Menteri KESUMA di sini, hari ini.
Katanya, selain sektor gig, keutamaan lain KESUMA termasuk reformasi undang-undang buruh secara berterusan bagi memastikan kerangka perundangan kekal relevan, progresif dan selari dengan perubahan landskap pekerjaan.
“Bagi menjamin hala tuju pembangunan tenaga kerja yang mampan pula, kementerian turut fokus menggubal Dasar Sumber Manusia Negara 2026–2035 sebagai dokumen induk jangka panjang negara,” katanya.
Katanya, KESUMA juga akan melaksanakan Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Buruh Paksa 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 dan memperkenalkan mekanisme levi berperingkat bagi memastikan sistem pembiayaan latihan dan pembangunan tenaga kerja lebih adil serta berasaskan keperluan industri.
Jelasnya lagi, KESUMA turut bercadang menubuhkan Akademi KESUMA yang akan menjadi pusat pembangunan kapasiti, latihan kepimpinan dan pengukuhan kompetensi warga kementerian serta ekosistem sumber manusia negara.






