Meta Membekukan Program Pembangunan Set Kepala Horizon OS Oleh Pihak Ketiga
Effi Saharudin
Adakah keranda sudah diusung dan air mata mula bercucuran untuk dunia metamesta di bawah Meta? Hari ini Meta membekukan program pembangunan set kepala VR menggunakan Horizon OS oleh pihak ketiga. Hampir dua tahun lalu program ini diumumkan dengan Asus dan Lenovo dinamakan sebagai dua syarikat pertama akan mengeluarkan set kepala mereka sendiri.

Program ini adalah usaha untuk meningkatkan jumlah set kepala Horizon OS yang selama ini digunakan pada set kepala Meta Quest sahaja. Jualan kurang memberangsangkan dan jumlah pengguna yang rendah memaksa Meta untuk mengubah hala tuju ingin menjadi syarikat metamesta terbesar dunia kepada syarikat kecerdasan buatan sejak dua tahun kebelakangan ini.
Pembekuan projek dilakukan selepas Meta mula mengurangkan jumlah pekerja di Reality Labs yang terlibat dengan projek set kepala VR. Tumpuan Reality Labs kini dipindahkan pula kepada pembangunan cermin mata pintar seperti Meta RayBan AR yang mula dipasarkan tahun ini. Jelas Meta kini melihat cermin mata pintar dengan AI mempunyai masa depan lebih cerah berbanding metamesta.






