Netflix Akan Menerima 14 Podsiar Video Eksklusif Bermula 2026
Effi Saharudin
Bermula sebagai perkhidmatan menyewa DVD dan kemudian melakukan anjakan paradigma dalam penstriman video, Netflix kini menerjah masuk pula ke dalam penawaran podsiar dalam bentuk video. Netflix melakukan kerjasama dengan iHeart Media untuk menerbitkan 14 podsiar video bermula awal 2026.

Ia akan ditawarkan kepada pelanggan di Amerika Syarikat terlebih dahulu sebelum dikembangkan ke pasaran lain. Antara siri podsiar yang akan ditayangkan secara eksklusif nanti ialah “Dear Chelsea” dengan Chelsea Handler, “The Breakfast Club” dengan Charlamagne, dan “My Favorite Murder” dengan Karen Kilgariff serta Georgia Hardstark. Kesemua ini adalah podsiar yang popular di Amerika Syarikat dan ini mungkin sebab penawaran podsiar adalah terhad di peringkat awal.
Sebelum ini Netflix menjalinkan kerjasama dengan Spotify untuk podsiar video “The Ringer,” “The Bill Simmons Podcast,” dan “The Zach Lowe Show.” Tahun 2026 akan menjadi tahun podsiar video dan Netflix tidak mahu ketinggalan tetapi pada waktu yang sama penawaran permainan video di bawah Netflxi Games kini semakin anemik.






