PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan siasatan berhubung insiden tembakan membabitkan tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka akan dijalankan secara telus.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail juga berkata, PDRM tidak akan berkompromi jika berlaku sebarang bentuk salah laku oleh pihak polis dalam kes itu.
“PDRM menegaskan komitmen untuk memastikan setiap proses siasatan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berlandaskan undang-undang demi menjamin keadilan kepada semua pihak.
“PDRM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kertas siasatan kes tembakan berkenaan sudah dirujuk serta ditaklimatkan kepada Jabatan Peguam Negara.
“Hasil penelitian Jabatan Peguam Negara bersetuju dengan syor PDRM supaya siasatan kes berkenaan diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan bunuh,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan memaklumkan sudah mengarahkan siasatan kes tembakan membabitkan tiga lelaki maut di Durian Tunggal, Melaka, diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Hasil penelitian awal, jabatan itu mendapati beberapa tindakan lanjut masih perlu diambil oleh PDRM bagi melengkapkan siasatan sebelum apa-apa juga keputusan muktamad dibuat.
Pada 3 Disember lalu, media melaporkan ahli keluarga tiga lelaki yang ditembak itu menolak dakwaan bahawa ketiga-tiganya bertindak ganas dengan menyerang pihak polis.
Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga suspek penjenayah itu yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis tersebut.
Kejadian tembak menembak itu berlaku pada 24 November lalu sekitar pukul 4.30 pagi apabila tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati.
Ia selepas seorang daripada mereka melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, Melaka. – UTUSAN

![[SALAM PERANTAUAN] Jauh di mata, dekat di hati](https://prwire.my/wp-content/uploads/2026/03/SALAM-PERANTAUAN-Jauh-di-mata-dekat-di-hati-300x200.jpeg)


